Monday, May 5, 2008

kenapa kamu mahu?

Tak tipu. Memang aku sibuk. Sebab itu aku tangguh lagi. Baru sekarang ada peluang. Waktu rehat untuk aku pun kena kira juga sebab aku sudah berhempas pulas merasa penat kerja. Tapi apa-apa pun, minta maaf kerana aku membuatkan sebentar masa menjadi segala masa. Terasa macam salah aku juga yang tidak cuba mencuri masa. Ah, pedulikan. Aku baru segar sekarang jadi aku baru boleh menulis sekarang. Kamu tak boleh salahkan aku. Lagipun kamu juga manusia.

Oh, tentang DEB. Perkara yang sudah semakin basi, semakin jarang dibincang oleh si mereka-mereka akhir-akhir ini. Hanya hangat bila surat khabar hangatkan. Sekarang, hangat tentang isu ketuanan Melayu. Dan kedaulatan sultan. Alahai, kelakar juga kronologi zaman walaupun pasti ada hikmahnya. Di mana perbincangan tentang DEB sekarang? Ataupun mereka akan kata ia terangkum dengan isu-isu sekarang?

Baik, sudah tamat. Aku bukan mahu berpolitik. Hanya secebis itu saja, jangan marahkan aku. Aku pelajar yang mahu belajar dan mahu belajar bersama pelajar yang sepatutnya belajar. Jadi, mari kita belajar bersama-sama dari mengikut bersama si mereka-mereka. Haha..

Sebelum urat mata kamu menegang, 2 perkara ini harus kamu pegang ketika kamu mahu pertikaikan atau persoalkan perkataan-perkataan aku selepas ini (perkataan sebelum ini juga tiada kaitan, hanya karutan). Pertama, perkataan-perkataan aku tidak menyentuh tentang relevannya kewujudan DEB sekarang dan juga senario yang sedang berlaku atau yang telah berlaku. Kiranya, kenapa DEB patut ada atau tidak, aku tak sentuh langsung dalam tulisan ini. Kedua, perkataan-perkataan aku belum lagi menjurus kepada perkara-perkara DEB, pelaksanaan DEB, perjuangan DEB, pengubahsuaian DEB atau apa-apa lagi tentang perkara DEB itu. Jadi, sila tanamkan 2 perkara ini dulu sebelum kamu baca yang seterusnya. Senang cerita, jangan pedulikan apa-apa yang berkaitan dengan DEB ini dulu semasa kamu baca perkataan-perkataaan aku ini. Sebab seperti biasa, aku akan kata tentang sesuatu yang bosan untuk orang dengar bila aku mula mengeluarkan perkataan ini, sistem pemikiran. Bosan, bukan? Haha. Peduli apa aku, aku tetap akan berjuang untuk itu.

Sudah tanam atau belum kedua-dua perkara itu? Pastikan dulu sebab aku tak mahu penilaian "politik pelajar-pelajar itu".

Aku selalu cakap ini pada kawan-kawan rapat aku. Apa tujuan kamu mahu DEB? Diri kamu! Bukan si mereka-mereka. Kenapa kamu mahu?

Aku di bumi Malaysia. Orang-orang sekeliling aku ada pelbagai kaum. Dulu Melayu pemilik asal tanah ini. Kemudian orang-orang lain datang kongsi. Harta mereka punya. Usaha mereka diutamakan. Kawasan mereka memanfaatkan. Hidup mereka tidak kemelaratan. Andai kata generasi sebelum aku tidak berakal, tanah ini mereka sapukan. Maka selepas itu timbul suara-suara yang mengatakan, tuntut hak kita. Jadi aku tanya untuk kamu yang tahu, apa hak kita?

Jangan salah tafsir. Aku tak kata kamu tak tahu. Kamu semua tahu. Aku juga tahu. Sehingga yang tidak tahu pun boleh jadi tahu sebab semua orang mahu beritahu. Walaupun ketika mereka kata mereka tahu, semua orang akan berusaha untuk tetap beritahu supaya mereka lebih tahu. Dan aku tidak kata, tidak salah untuk beritahu atau untuk kamu tahu, malah sangat bagus kalau kamu sangat tahu, tapi persoalan aku ialah kenapa kamu mahu tahu dan beritahu?

Andai kata, kamu mahu kesamarataan, maka kenapa kamu mahu kesamarataan? Andai kata kamu mahu hak, maka kenapa kamu mahu hak? Andai kata kamu mahu keistimewaan, maka kenapa kamu mahu keistimewaan? Aha, sedikit penjelasan tentang keistimewaan. Tak salah kalau mahu keistimewaan itu. Itu memang hak penduduk peribumi. Barangkali di mana-mana juga sama. Kalau kamu mahu aku huraikan dari segi fakta dan logik, aku boleh layan kamu. Tetapi untuk perkara ini, aku lebih gemar untuk berbicara tentang diri kamu dulu. Kenapa kamu mahu?

Andaikan kamu berjuang habis-habisan untuk perkara ini. Dan akhirnya kamu berjaya dan dapat. Maka selepas itu, apa yang kamu akan lakukan? Adakah kamu akan duduk bersenang-lenang sambil menggoyangkan kaki kamu, mengatakan hak kita sudah terbela? Atau kamu berazam untuk berjuang dan mempertahankan hak kamu dengan berkobar-kobar sekali mengikut landasan politik selepas itu? Atau kamu hanya berkata, inilah kejayaan yang kita nanti-nantikan. Begitu ke?

50 tahun kita dan mereka semua hidup bersama berkongsi udara. Kita berusaha untuk maju. Mereka juga berusaha untuk maju. Tetapi, mereka ada rangkaian kukuh untuk berjaya. Asasnya telah tercipta. Kalau kita mahu tembus mereka begitu saja, nasihat aku untuk kamu, sila hidup tanpa rehat. Jadi, apa yang kita perlukan adalah bantuan sebab kita tiada asas. Sebab itu datangnya DEB untuk membantu kita mencipta asas supaya kita boleh bergerak ke hadapan. Maka sepatutnya apabila kita sudah dapat asas itu, kita boleh bergerak sama hebat dengan mereka, sama pantas dengan mereka dan sama maju dengan mereka, tanpa bantuan. Kerana apa? Kita ada asas dan bersaing dengan aras yang sama. Kita ada otak dan kita boleh berfikir juga. Kita ada tenaga dan kita boleh usaha juga. Tiada apa yang kita kurang dari mereka. Yang kurang adalah kita cuma bermula lambat, mereka bermula dari dulu lagi. Itu saja. Jadi, semua ini tidak lebih dari untuk membantu kamu menyediakan asas kepada usaha kamu saja. Dan tidak lebih dari untuk membantu kamu saja. Ia bukan satu alat bagi kamu untuk kamu selama-lamanya bergantung padanya untuk kamu hidup mewah. Ia bukan juga satu alat untuk kamu supaya kamu hidup senang. Ia bukan satu alat untuk kamu supaya kamu cepat bergerak. Ia cuma satu alat bagi kamu supaya usaha kamu tidak sia-sia, sebagai bantuan bagi kamu untuk melangkah seperti gergasi. Kamu perlu usaha dengan menggunakan DEB, bukan hidup mudah dengan menggunakan DEB. Ia membantu usaha kamu saja, bukan menampung hidup kamu. Itu saja bagi aku, tidak lebih. Membantu, bukan manampung. Membantu, membantu dan membantu.

Jadi aku tanya kamu sekali lagi, kenapa kamu mahu DEB? Adakah sebab berkobar-kobarnya semangat kamu untuk mempertahankan hak kamu hasil dari perjuangan si mereka-mereka sekarang? Atau sebab kamu takut untuk hidup susah dan mahu jalan senang saja? Atau kamu mahu goyang kaki menikmati hasil DEB bila agenda tertentu sudah berjaya? Begitukah kamu? Aku tanya kamu. Apa yang kamu rasa bila DEB tiada? Takut? Dan kenapa kamu takut?

Aku bukan hebat untuk memberi pendapat tentang sistem pemikiran ini. Otak aku tak hebat macam kamu semua. Dan aku pasti, ramai di luar sana yang ada idea hebat untuk memperkatakan tentang sistem pemikiran ini. Tapi, bagi aku, untuk perkara ini, kalau kamu takut kerana bila kamu sedang berusaha keras, tetapi disebabkan mereka yang lain sudah ada asas yang kuat dan tidak bermula pada aras yang sama dengan kamu dan akhirnya, usaha kamu akan menjadi sia-sia, kamu hebat. Sebab bagi aku, tujuan kamu adalah kamu mahu usaha. Itu saja. TUJUAN KAMU ADALAH USAHA. Kamu mahu bertanding. Kamu mahu tunjuk bahawa kabilah kamu ini hebat. Dan ada otak yang hebat. Ada sifat yang hebat. Ada keazaman yang hebat. Apa yang kamu perlukan untuk buktikan kehebatan kabilah kamu adalah, bermula pada aras yang sama. Mereka usaha dan kamu juga usaha, tetapi pertandingan itu bermula pada aras yang sama. Dan untuk apa juga semua itu? Untuk membentuk sistem pemikiran mereka supaya tidak memandang rendah pada sistem pemikiran kamu. Lagi sekali aku ulang, membentuk sistem pemikiran mereka supaya tidak memandang rendah pada sistem pemikiran kamu. Sebabnya, kamu mahu berusaha dan sedang berusaha. Dalam perkataan lain, sistem pemikiran mereka tidak memandang kamu malas. Dan sistem pemikiran mereka tidak memandang rendah pada keupayaan kamu.

Kehebatan kamu sebenarnya bukan terletak pada tubuh kamu walaupun ada orang pandang begitu. Kehebatan kamu sebenarnya bukan terletak pada wajah kamu walaupun ada orang pandang begitu. Kehebatan kamu bukan terletak pada harta kamu walaupun ada orang pandang begitu. Kehebatan kamu bukan terletak pada asal-usul kamu walaupun ada orang pandang begitu. Malah kehebatan kamu juga bukan terletak pada keistimewaan kamu walaupun ada orang pandang kamu begitu. Bila manusia berkata kamu hebat, dan sejarah kata kamu hebat, ia adalah disebabkan sistem pemikiran kamu hebat. Itu saja. Untuk mencipta sistem pemikiran yang hebat, seperti yang aku kata dulu, apa pegangan kamu. Kerana bila kamu ada pegangan, kamu akan ada tujuan. Dan bila tujuan kamu betul, kamu boleh jadi hebat. Semudah itu yang aku nampak. Cuma bahagian yang sukarnya, adakah kamu mahu berjuang dengan sistem pemikiran kamu itu nanti. Lihat saja Tun Mahathir. Kamu juga tahu bukan? Kamu juga mampu jadi sepertinya. Tidak percaya? Cubalah berusaha berfikir. Oh, bagi mereka yang kurang mengerti bahagian ini, baca balik tentang apa pegangan kamu. Itupun kalau kamu rajin untuk membaca.

Lihat, apa yang aku persoalkan ialah kenapa kamu mahu. Dan apa tujuan kamu. Itu saja. Kamu pelajar dan kamu harus bentuk sistem pemikiran kamu dengan betul dulu. Jangan biarkan si mereka-mereka kaburkan perjuangan kamu sebagai pelajar. Aku cuma mahu mengajak kamu berfikir tentang diri kamu, kenapa kamu mahu? Aku tahu, bukan senang nak berkata secara ideal tanpa melihat realiti. Tapi kalau ideal tidak menjadi rujukan kamu dalam menghadapi dunia realiti, jadi kamu ikutlah si mereka-mereka. Memang kamu layak mengikut pun. Tapi bagi aku, sebelum kamu pergi jauh tentang DEB ini, sebelum kamu berbicara tentang isi-isi DEB ini, sebelum kamu berjuang bagi DEB ini, aku mahu tanya kamu, apa tujuan kamu? Kenapa kamu mahu?

Fikirkan sebagai pelajar.

4 comments:

Anonymous said...

yeah. you are right but the really matter is malay always cannot understand. then what would you do? even if you are fighting like this, then how much are concern and worry? the nature is, human is greed including malay. thats it.

Anonymous said...

setelah saya bilang perkataan untuk entri kali ni(guna word count microsoft) saya dapati, patah perkataan yang anda tulis untuk entri kali ini berjumlah 1451 dengan 8027 huruf. Saya kagum dengan semangat anda menulis dan berkongsi. Dengan pendapat dan isi yang boleh membuat kita terfikir. Ya! Syen memang hebat!

suka hati said...

Yup but the important is thats my responsibility. Advice, give, talk and fight for my generation, as a friend and student, not as a politician. And all of us must do the same too. Change what is wrong with consciousness and rationale and without emotional of politics. We should learn first! Mechanism, we leave it to politicians or politician-wannabe.

suka hati said...

Aha. Terima kasih sebab mengira untuk saya. Tak tersangka boleh sebanyak itu pula. Haha