Friday, May 16, 2008

mana bahasa kamu

Ini bahagian serius. Sebelum ini tidak serius. Makin lama makin bertambah pula tulisan tidak serius aku. Apa cerita dengan kata-kata aku yang mahu serius saja? Haha. Baik. Mari kita berserius. Serius! Yeah..

Satu perkara yang sudah lama menarik perhatian aku tapi tiada kesempatan aku nak tulis, bahasa. Terfikir perkara ini semasa kehangatan berita tentang kerajaan nak tukar pembelajaran sains dan matematik dalam Bahasa Inggeris ke Bahasa Melayu masa aku buat latihan industri dulu. Maksudnya, mengikut tafsiran terus, sudah lama aku terfikir tapi aku masih tidak tulis perkara ini. Sebab? Aku sibuk (alasan sama lagi,bukan). Mesti kamu sudah jangka alasan ini. Haha. Tapi aku jujur, aku sibuk..

Mahu dengar ayat kebiasaan eksekutif negara kita masa berita ini hangat dulu? “Bahasa jiwa bangsa”. Masa begini baru nak berkata. Tapi aku tahu, bukan senang nak berkata masa dulu pun. Agak-agaknya, si mereka-mereka faham ke apa yang mereka cakap? Kenapa kamu mahu Bahasa Melayu? Jangan salah tafsir. Aku tak kata si mereka-mereka tak faham. Cuma kefahaman masing-masing berbeza bukan? Lagipun, aku tak tahu perjuangan mereka secara terperinci. Jadi, mekanisme perjuangan mereka, jujur aku kata, aku tak tahu langsung. Yang aku tahu, mereka mahu tukar. Itu saja. Semudah itu saja, bukan? Tapi memang kebiasaan untuk aku, aku suka menyusahkan diri sendiri. Selalu sangat nak fikir, kenapa itu, kenapa ini. Lepas itu cakap pada kawan-kawan, kenapa itu, kenapa ini. Kadang-kadang rasa serba salah juga aku sebab peningkan kawan-kawan aku yang terlalu berpolitik ini. Tapi apa nak buat, ini adalah aku. Peduli apa aku kalau aku rasa betul. Politik, itu hal kamu. Aku pelajar dan aku cakap apa yang aku belajar. Aku tak mahu berpolitik di sini. Belajar politik, boleh tapi berpolitik, tidak. Yang betul, aku cakap. Yang tak betul, aku tak cakap. Kalau ada yang tak betul aku cakap, kamu beritahu aku. Cantik?

Alasan yang selalu dikaitkan si mereka-mereka tentang kehebatan bahasa ini adalah Jepun. Bagaimana Jepun menguasai ilmu sehingga kalau kita mahu belajar ilmu mereka, kita perlu tahu Bahasa Jepun sebab mereka menggunakan Bahasa Jepun. Secara tidak langsung, mereka berjaya mengembangkan budaya mereka, mengekalkan identiti mereka, meningkatkan darjat mereka dan menakluk dunia dengan identiti mereka. Begitu, bukan?

Aku bukan tak setuju. Aku setuju, malah aku menyokong pun. Aku memang baca sejarah mereka. Terlalu seronok aku baca sampai aku sangat setuju dengan perkataan-perkataan di atas. Tapi, menggunakan Bahasa Melayu dalam pembelajaran, pada pendapat aku, ia cuma satu langkah ke belakang saja kalau tidak betul caranya. Sebab apa? Katakan, dengan mentaliti pelajar Malaysia sekarang, kamu belajar dalam Bahasa Inggeris, kemudian apabila kamu bekerja, sekeliling kamu perlu menggunakan Bahasa Inggeris kalau kamu mahu bekerja. Jadi, kelebihan yang kamu ada adalah kamu berpeluang untuk menjadi lebih yakin, lebih diperlukan dan lebih mudah berkomunikasi. Kerana perantaraan itu menggunakan Bahasa Inggeris dan kamu tahu Bahasa Inggeris. Itu saja. Tak susah. Kamu juga memang fikir begini bukan?

Andaikan, kamu tukar kepada Bahasa Melayu, aku pun tak tahu bagaimana aku mahu terangkan kepada kamu. Cuma, secara mudah, melainkan kamu mahu bekerja sendiri atau berjuang sendiri, kamu boleh menggunakan Bahasa Melayu sebab kamu bagus. Kamu mahu berjuang sekurangnya. Dan hasilnya, kamu berjaya mengekalkan identiti kamu. Betul?

Tak salah semua itu pun. Cuma, pada pendapat aku, aku mahu belajar dalam Bahasa Inggeris sebab Bahasa Inggeris itu adalah bahasa ilmu. Itu saja. Sama seperti kamu belajar Bahasa Arab untuk mendalami Islam sebab Bahasa Arab itu adalah bahasa ilmu bagi Islam. Kamu perlu tahu segala perkataan-perkataan dan istilah dalam bahasa ilmu itu kerana ilmu-ilmu baru akan wujud selepas itu dalam bentuk bahasa ilmu. Jadi, bila kamu mahu belajar ilmu terkini dan penemuan baru, segalanya akan dalam bahasa ilmu itu. Dan bila ia menjadi bahasa ilmu, maka secara tak langsung, ia akan menjadi bahasa ekonomi dan perdagangan. Keadaan yang sama seperti zaman kegemilangan tamadun Islam dulu. Kalau kamu tidak memahami bahasa ilmu, kamu akan mengalami kesukaran untuk meneruskan perdagangan kamu dan aktiviti-aktiviti kamu. Termasuk juga dengan pengaplikasian sains dan teknologi, segalanya diterbitkan dengan bahasa ilmu. Kalau kamu tiada kemahiran bahasa ilmu, bagaimana kamu mahu berkomunikasi dengan jurutera-jurutera mereka dan beraplikasi?

Aku tidak kata kamu tidak boleh menggunakan Bahasa Melayu. Tapi, dalam keadaan sekarang, rasanya wajar kamu mahu Bahasa Melayu itu dalam pembelajaran? Adakah kamu yakin selepas itu kamu akan faham dan mampu berkomunikasi dengan jurutera-jurutera di luar di sana? Adakah kamu mampu untuk mengekalkan identiti kamu dengan Bahasa Melayu nanti bila kamu di luar sana? Aku rasa, tak mustahil kamu akan lebih hilang identiti bahasa kamu dari sekarang bila kamu guna Bahasa Melayu. Aku mahu tanya kamu, kenapa kamu mahu? Adakah untuk mudah, atau untuk mengekalkan jiwa bangsa kamu? Dan kamu pasti, itu cara kamu dan betul?

Selepas ini adalah perkara-perkara penting yang aku cuba sampaikan pada pendapat aku kepada kamu. Sebelum ini, pendahuluan untuk kamu supaya kamu boleh fikir dan faham idea aku nanti. Pembelajaran dalam Bahasa Melayu tidak salah. Aku boleh sokong. Tapi dengan syarat, bagi aku, pastikan sistem pemikiran rakyat Malaysia ini mahu belajar dan bergerak ke hadapan. Dan juga Malaysia, dan semestinya universiti, mesti mahu mencipta ilmu baru. Dan kerajaan, kamu perlu sediakan satu mekanisme, satu pendekatan atau inisiatif untuk jadikan Malaysia ini pengeluar ilmu. Perkara ini perlu sebab bila kita keluarkan ilmu, maka orang luar akan datang pada kita. Orang luar terpaksa belajar pada kita sebab bahasa kita adalah bahasa ilmu. Bila kamu keluarkan ilmu, kamu tidak perlu risau untuk masalah komunikasi sebab ilmu itu kamu pegang. Mereka yang akan merasa risau sebab mereka tidak tahu bahasa kamu dan mereka perlu belajar bahasa kamu untuk ilmu itu. Sama juga dengan Jepun. Mereka mengekalkan identiti mereka sebab mereka keluarkan ilmu. Peduli apa mereka tidak tahu Bahasa Inggeris. Mereka juga mampu mengeluarkan ilmu. Bagi aku, itu adalah sebenarnya jiwa sebab orang mahu belajar bahasa kamu dan sebabnya lagi, bahasa kamu adalah bahasa ilmu. Bagi aku, itu baru bahasa jiwa bangsa. Kamu akan terasa roh jiwa itu kerana cara kamu betul. Kamu menaungi ilmu itu dan kamu berjaya pula dengan bahasa ilmu.

Tapi, kalau kamu tidak mampu mengeluarkan ilmu lagi, bagi aku, kita perlu terus dengan Bahasa Inggeris. Tapi, carikan cara untuk meningkatkan maruah bahasa kamu. Dan caranya bukan secara paksa tetapi perlu dengan cara terhormat. Contoh paling mudah mahu di kata, cipta teknologi. Makin banyak kamu cipta sendiri teknologi, makin tinggi orang luar akan pandang kamu sebab mereka nampak, kamu begitu hebat mengaplikasikan sains. Dan dari penciptaan teknologi sendiri inilah, kamu akan jumpa ataupun berusaha untuk mencari ilmu baru kerana tiada ilmu yang tetap dan ia akan sentiasa berkembang. Dan bila orang luar sudah melihat begitu, rakyat Malaysia yang terlalu bangga dengan bahasa luar ini sekurangnya akan tersedar dengan kehebatan negara kita dan tersedar dengan maruah bahasa kita yang dibanggakan oleh orang luar tapi tidak oleh rakyat kita sendiri. Tapi, kalau kamu asyik bercakap pada mereka, cintailah bahasa kita, cintailah bahasa kita, tapi mereka tidak nampak kepentingan itu disebabkan mereka mempunyai sifat melihat dulu dari berfikir dulu, kamu tak akan membangkitkan jiwa itu. Jiwa itu mesti kamu bangkitkan dengan maruah ilmu dan juga pencapaian. Hanya cara itu saja kamu boleh bangkitkan kecintaan bahasa bagi mereka yang tidak sedar bahasa mereka sendiri itu. Tidak ada cara lain.

Jadi bagi aku, kamu cuma ada 2 pilihan. Gunakan Bahasa Melayu tapi ubah mentaliti untuk jadi hebat dalam ilmu sehingga kita keluarkan ilmu dan menjadi bahasa ilmu. Atau jika kamu tidak mampu, kamu boleh terus dengan Bahasa Inggeris untuk menempuh cabaran dunia sekarang tapi tingkatkan maruah kamu dengan ilmu dan “cipta sendiri” pencapaian sains dan teknologi sehingga rakyat kita yang tidak sedar itu boleh tersedar dengan kehebatan bahasa kita. Dari itu, akan datangnya jiwa bangsa itu nanti. Dan akan tercipta dengan tersendirinya bahasa kita sebagai bahasa ilmu seperti Jepun. Percayalah. Dan kedua-dua pilihan ini perlu usaha yang sepenuhnya dan berterusan sepanjang zaman. Ini bukan soal memilih bahasa mana yang kamu mahu guna tapi ini soal bahasa mana yang kamu perlu guna dan apa tindakan kamu selepas menggunakan bahasa itu untuk kemajuan kamu.

Ini cuma pendapat aku. Aku tanya kamu pula. Apa pula pilihan kamu?

4 comments:

Fareenz said...

dh update eh?ckp org jer..:P

bagi saya, bahasa inggeris adalah bahasa keperluan. kita rakyat malaysia seharusnya mendalami bahasa inggeris sebab keperluan.keperluan apa??di tempat kerja dan juga pengajian.

orang jepun kurang fasih berbahasa inggeris sebab tiada keperluan. tempat kerja dan pengajian menggunakan bahasa jepun sebagai pengantaraan. mereka tak perlu orang luar. mereka boleh hidup sendiri dan menghasilkan teknologi sendiri untuk KITA guna pakai.

malaysia belum lagi. cuma sekarang, bahasa inggeris itu keperluan. fokus.

p/s:promoter kene fasih bahasa mandarin. apa cerita?

Anonymous said...

ya benar bahasa inggeris itu penting pada masa kini untuk mendalami ilmu.memang tidak dinafikan pasaran kerja pada masa kini memerlukan itu semua dan penting bagi kita untuk bersaing dengan masyarakat global..tetapi,adakah sebenarnya wajar dan relevan dasar pendidikan sains dan matematik didalam bahasa inggeris dilaksanakan dalam sistem pendidikan negara kita pada masa kini?cuba kita perhatikan secara realiti dan fakta.sejak pelaksanaan dasar ini,adakah peratusan pelajar lulus dan peratusan pelajar mendapat keputusan yang cemerlang dalam semua peperiksaan wajib di malaysia ini meningkat??adakah meningkat?kita lihat secara fakta.jelas sekali ianya adalah menurun.malah disekolah-sekolah luar bandar,keputusan peperiksaannya adalah amat menyedihkan sekali.ini adalah kerana apa??adakah disebabkan pelajar-pelajar itu malas??adakah mereka itu benar-benar bodoh?tidak.mereka tidak bodoh.tetapi mereka menjadi mangsa eksperimen para pemimpin yang berfikiran hanya di dalam kotak dan kawasan mereka sahaja.berapa banyak sekolah luar bandar diluar sana??adakah dengan sistem ini mereka kan menjadi faish berbahasa inggeris??tidak.mereka menjadi mangsa sebenarnya.mereka sebenarnya faham tetapi untuk mengolahnya adalah sukar bagi mereka.ini adalah senbenarnay masalahnya.ya benar unutk menjadi maju kita perlu mengambil cabaran dan mengambil risiko.tetapi adakah ini risiko yang kita perlu ambil?berapa ramia orr melayu diluar sana yang tercicir?belajar dalam bhasa melayu pun sudah tunggang terbalik inikan pula dalam bahasa inggeris yang bukan menjadi kunyahan harian mereka.ya benar,ada kebaikan dalam semua itu.pelajar-pelajar di bandar misalnya.ada dan malahan banyak keluarga di bandar yang bertutur dalam bahasa inngeris dirumah dan ini menjadi kan mereka tidak menghadapi masalah kerana itu kunyahan harian mereka.maka mereka mudah untuk memahami dan mengolah semula.tetapi bagaimana pula dengan mereka yang berada diluar bandar?adakah malaysia ini seratus peratus bandar?tidak.lihat shaja di ipoh.sekolah dato ahmad said itu.adkah semuanya bertutur dalam bahasa inggeris dirumah??tidak.mereka tidak faham dan jika faham pun mereka tidak pandai mengolah.dan apabila ini berlaku akhirnya mereka hilang minat unutk belajar.maka tercicirlah mereka dalam arus persaingan yang kuat ini.benar,bahasa inggeris itu penting.tetapi adakah cara nya itu betul?bukan kah banyak lagi cara untuk memantapkan penguasaan bahasa innggeris dikalangan rakyat?tepuk dada tanya selera..bahasa melambangkan bangsa dan sebuah negara.indonesia dengan bahasa indonesia nya.korea dengan korea nya.filipina dengan tagalognya.malaysia?banyak lagi hendak aku bincangkan disini tetapi disebabkan keterbatasan waktu dan tenaga aku tinggalkan perbincangan ini dengan persoalan itu.maaf sekiranya tidak bersetuju.yeahhh!seyn rock!

Anonymous said...

aku suka baca penulisan kau. memang berkualiti! dan kepala kau sama dengan kepala aku. haha

suka hati said...

Cik Fareen, sangat bersetuju. Mandarin juga adalah keperluan disebabkan peningkatan ekonomi mereka. Sama juga Korea, India. Cuma keperluan dan bahasa ilmu itu adalah 2 perkara berbeza dalam konteks yang berbeza tapi tak salah. Terima kasih.

Oh, siddiq azani! Blog kamu juga informatif dan penuh dengan sarcatism kadang-kadang. Lagi berkualiti dari blog aku. Haha. Terima kasih sebab sudi membaca blog aku:))

Encik Jimi, malam nanti aku post jawapan kepada kau yea. Pening gak tengah fikir nak jawab camane. Haha. Sorry lambat. Sibuk sikit. Baru sekarang dapat check. Hehe.