Sunday, May 25, 2008

jawapan untuk sahabat tentang bahasa

Minta maaf, aku lambat lagi. Serius, banyak perkara yang patut aku dahulukan dan banyak aktiviti yang patut aku utamakan pada cuti kali ini sehingga tidak boleh kemas kini blog aku. Jadi, maafkan aku.

Baik, aku tahu, jangan buang masa. Kita teruskan.

Tulisan kali ini bukan perkara baru yang mahu aku sampaikan tapi cuma mahu menjawab soalan sahabat aku yang mempersoalkan tentang kewajaran pelaksanaan Bahasa Inggeris dalam sains dan matematik dalam sistem pendidikan negara kita pada masa kini. Minta maaf Jimi, aku lambat. Tapi aku pasti, ramai yang lain pun cakap begitu, betul tak Pidot?

Sebelum kamu baca, satu perkara harus kamu faham adalah tiada soal betul atau salah ketika masing-masing keluar pendapat dengan aku. Biarpun pendapat tidak sama tapi yang aku suka ialah idea dan kemahuan kita bersama untuk berfikir. Maka setuju dan tidak setuju itu adalah perkara yang lumrah dalam perbincangan yang rasional. Namun yang pasti, tiada istilah menang atau kalah bagi aku. Idea dari hasil kerah otak kamu adalah paling dihargai dan dihormati, bukan menang kalah idea kamu. Itu patut kamu faham dulu cara aku. Aku tak suka berdebat tetapi berbincang tapi aku juga tak suka orang selalu bersetuju. Harus ada idea berlainan, baru otak kita terangsang. Matlamat utama, melatih kita berfikir. Itu saja. Berlatih membentuk sistem pemikiran kita bersama. Yeah..

Baik. Cuma selingan situasi. Disebabkan tulisan kali ini hanya menjawab, jadi aku tak perlu hurai panjang lebar. Cukup hanya menjawab dan memberi kefahaman tentang jawapan. Huraian lebar tentang fakta jawapan perlu dirujuk pada tulisan sebelumnya.

Perkara utama yang dipersoalkan ialah wajar atau tidak wajar pelaksanaan Bahasa Inggeris dalam sains dan matematik. Baik. Aku jawab begini.

Tulisan aku tidak mempersoalkan kewajaran pelaksanaan penggunaan Bahasa Inggeris. Seperti yang aku kata dulu, ini bukan soal memilih bahasa mana yang kamu mahu guna tapi ini soal bahasa mana yang kamu perlu guna dan apa tindakan kamu selepas menggunakan bahasa itu untuk kemajuan kamu. Dalam tulisan aku, aku tak putus lagi perlu guna Bahasa Melayu atau kekalkan Bahasa Inggeris dalam sains dan matematik tetapi aku mengambarkan apa yang berlaku jika sesuatu itu tidak betul caranya.

Penyelesaian kepada masalah penguasaan ilmu (terutama di kalangan luar bandar), bagi aku, bukan semata-mata bergantung kepada antara kamu mahu guna Bahasa Melayu atau Bahasa Inggeris. Sama juga begini, kemunduran jiwa Bahasa Melayu dikalangan rakyat Malaysia bukan semata-mata kerana kamu mahu guna Bahasa Melayu atau Bahasa Inggeris. Pegangan aku, kamu tak akan selesaikan masalah kamu dengan hanya memilih Bahasa Inggeris atau Bahasa Melayu saja. Itu bukan penyelesaian yang jitu. Aku memperkatakan, ketika kamu mahu guna bahasa itu, maka kamu perlu tahu kenapa kamu mahu guna dan apa tindakan serta langkah kamu selepas kamu menggunakan bahasa itu. Memilih menggunakan Bahasa Melayu atau Bahasa Inggeris dengan sebegitu saja bukan penyelesaian. Itu konsep tulisan aku. Seperti biasa, aku memperjuangkan sistem pemikiran kita terutama untuk pelajar. Jadi sila baca kembali tulisan sebelum ini untuk huraian pemahaman lebih panjang.

Antara perkara lain yang dipersoalkan, adakah dengan penggunaan Bahasa Inggeris, kamu boleh meningkatkan kefasihan kamu dalam Bahasa Inggeris? Baik. Dalam tulisan sebelum itu, aku kurang memandang kepada aspek itu. Seperti yang aku kata pada tulisan sebelum itu, itu adalah satu kelebihan jika kamu menggunakan Bahasa Inggeris.

Perkara utama yang aku tekankan dalam tulisan aku adalah Bahasa Inggeris itu adalah sebagai bahasa ilmu. Fasih berbahasa Inggeris dan mampu komunikasi dalam bahasa ilmu adalah 2 perkara berbeza yang aku kata dan yang patut kamu faham. Mampu berkomunikasi dalam bahasa ilmu ialah kamu mampu menangkap kata dan memahami teori, istilah dan konsep ilmu itu dan berdebat serta mempertikaikan idea lain yang berkaitan dengan ilmu itu dengan orang luar dari lingkungan bahasa kabilah kamu. Maka untuk setiap konsep itu, setiap teori itu, setiap istilah itu serta setiap idea itu dapat kamu tangkap maksudnya, ketahui dan faham apabila disebut. Kamu juga tahu bukan, sains bukan seperti sastera. Kamu perlu tahu dan faham sains, bukan setakat tahu. Dan cukup dengan jika hanya satu perkataan saja, jika kamu tidak faham, maka sampai mati pun kamu tidak akan faham atau menang dengan orang luar. Kamu tahu bukan, pelajar kejuruteraan? Untuk huraian secara panjang lebar, seperti biasa, tulisan sebelum ini adalah rujukan konsep tulisan aku.

Jawablah sudah semua akarnya. Sekian, terima kasih.
Tamat.
.
.
.
.
.
.
.
.
.
Aha, yang seterusnya bukan lagi jawapan kepada persoalan akar sahabat aku. Kamu boleh tutup jika mahu. Terima kasih.

Oh, untuk yang meneruskan pembacaan, terima kasih. Ini tidak berkaitan dengan persoalan akar tulisan aku sebelum ini pun. Ini satu lagi karutan tetapi ada manfaat juga. Jadi sebelum kamu salah anggap dan tidak mencerna dengan baik, baik kamu berhenti. Melainkan jika kamu dapat membezakan teori dan realiti. Sebelum ini, tulisan di atas hanya berkaitan dengan teori sistem pemikiran. Selepas ini, menyentuh realiti. Jadi, sila bezakan seperti kamu membezakan teori pembakaran dalam enjin dan pembakaran dalam enjin sebenar. Terima kasih.

Jadi, untuk setiap persoalan akar sahabat aku, ditimbulkan persoalan ranting yang menyentuh tentang isu-isu keupayaan pelajar, bahan eksperimen, pencapaian kecemerlangan dan lain-lain. Di sini aku tertanya-tanya, betulkah semua ini berlaku semata-mata hanya kerana kita menggunakan Bahasa Inggeris?

Cuba ikut aku sebentar saja. Hanya 6 baris atau lebih sedikit saja, tak panjang. Zaman dulu, pelajar-pelajar menggunakan Bahasa Inggeris dalam pembelajaran mereka (atau ITM saja, aku kurang pasti tentang itu). Dan hasilnya, tak ramai yang dilihat kecundang atau tidak berjaya. Tidak ramai yang mengutamakan Bahasa Inggeris malah terlalu ramai yang memperjuangkan jiwa Bahasa Melayu sekarang. Dan juga, kebanyakan yang berjaya pula adalah orang kampung atau dalam bahasa modennya, orang luar bandar. Tapi sekarang, orang luar bandar tidak mampu lagi jadi seperti mereka tapi kita tahu, orang dulu lebih daif, lebih bersifat jumud dan tidak terdedah kepada hal ehwal semasa berbanding dengan orang sekarang. Jadi yang menerjah fikiran aku, adakah sebenar-benarnya adalah kerana pengggunaan bahasa, pelajar-pelajar sekarang tidak mampu? Apa yang berbeza antara orang dulu dan sekarang?

Apa yang aku katakan selepas ini hanyalah pendapat aku secara umum, bukan spesifik dan bukan menuduh. Ini adalah pemerhatian aku dan pencernaan aku.

Aku tak berpendapat mereka gagal disebabkan penggunaan bahasa. Aku berpendapat, mereka gagal kerana sistem pemikiran mereka yang telah tercemar. Mari aku mudahkan kamu.

Watak
Antara perkara yang paling penting dalam konsep perjuangan aku (watak, peranan, pegangan dan prinsip). Lama lagi aku akan menyentuh asas tentang perkara-perkara ini. Hanya sedikit saja kali ini. Persoalan aku adalah, apabila kamu belajar, adakah kamu mempunyai watak sebagai orang yang mahu belajar?

Aku tak kisah bagaimana imej watak kamu. Oldskool, grunge, hip hop, feminin, hippies, mat rempit dan apa-apa lagi, tidak menjadi persoalan pun sekarang tapi aku mahu tanya kamu, adakah kamu bawa watak sebagai orang yang mahu belajar? Adakah sistem pemikiran kamu dahagakan ilmu? Adakah kamu mengejar ilmu? Adakah kamu berusaha untuk memahami? Yang aku lihat di sekeliling aku adalah, mereka belajar bukan kerana itu. Sangat kurang. Apa yang mereka mahu adalah mereka sekadar cukup tahu ilmu itu, maka mereka akan anggap mereka belajar. Tapi, adakah itu watak sebagai orang yang mahu belajar? Kalau memang begitu, betullah seperti yang dikatakan, belajar bahasa sendiri pun tunggang terbalik.

Aku ulang, seperti yang aku kata, mereka cuma mahu sekadar cukup tahu ilmu itu dan menganggap mereka sudah belajar. Dan yang paling sedih, mereka mahu tahu dengan mudah. Aku ulang, belajar dengan mudah dan sangat mudah tanpa perlu berusaha. Mereka cuma mahu dengar “teori ideal enjin pembakaran dalam” tapi mereka tak mahu berusaha untuk faham “teori ideal” dan “enjin pembakaran dalam”. Asalkan mereka tahu perkataan itu, mereka anggap, sudah belajar. Tapi bila mereka dibentangkan dengan “ideal theory of internal combustion engine”, mereka seolah menganggap terlalu pelik dan terlopong. Dalam sains, kamu tidak perlu tahu banyak perkataan seperti sastera. Percayalah. Dengan hanya kamu faham bagaimana konsep “teori ideal” atau “ideal theory” dan “enjin pembakaran dalam” atau “internal combustion engine”, orang yang baru belajar Bahasa Inggeris pun boleh tangkap sedikit sebanyak tentang fakta yang panjang itu walaupun banyak perkataan tidak boleh difahami. Contohnya aku. Serius! Aku tak hebat Bahasa Inggeris tapi dalam belajar, kefahaman adalah paling penting. Kefahaman kamu menggunakan teori, konsep dan istilah. Dan selebihnya, usaha kamu untuk belajar menjadikan kamu betul-betul cemerlang (tapi aku sedar aku tak cemerlang seperti kamu. Haha.)

Jadi aku mahu tanya, tidak kisah apa bahasa juga, adakah cukup sekadar “tahu saja” atau faham? Dan adakah kita memperjuangkan untuk mereka yang sekadar mahu “tahu saja” dan menggunakan mereka ini untuk memajukan negara?

Itu adalah fenomena yang aku nampak pada mentaliti pelajar sekarang, mahu “tahu saja” dan dapat keputusan cemerlang.

Suasana
Perkara ini mungkin semua sudah maklum. Bagi aku, untuk orang yang lemah perwatakannya, mereka akan hanyut dengan suasana. Suasana yang negatif akan mendidik dan mengajar peribadi mereka, sistem pemikiran mereka, akhlak mereka dan hidup mereka menjadi dayus dan membentuk watak dan perwatakan yang lemah.

Di Malaysia, terangkan pada aku “berapa sedikit” aktiviti hiburan? Mesti kamu tak mampu cakap “berapa sedikit” aktiviti hiburan, bukan? Aku tak semata-mata menyalahkan hiburan tapi apa yang aku nampak, disebabkan hiburan, generasi aku yang mempunyai watak yang lemah sebagai orang yang mahu belajar akan hanyut sehanyutnya desebabkan hiburan.

Jadi tak keterlaluan aku katakan, faktor sebenar yang menyebabkan kita lemah adalah suasana sekarang, bukan disebabkan penggunaan Bahasa Inggeris. Suasana sekarang mampu membentuk watak yang lemah tapi penggunaan bahasa memberi kesan yang minimal. Penggunaan bahasa adalah berkaitan praktikal dan kemahiran hidup untuk kebiasaan (jika kamu ambil sastera). Kalau untuk sains, seperti yang aku kata, cukup sekadar kamu tahu dan faham, maka kamu boleh belajar. Tidak sukar sangat.

Jadi bagi aku, tidak adil semata-mata menyalahkan penggunaan bahasa saja sebagai kegagalan kita bagi pelajar luar bandar. Adakah watak dan suasana kita benar-benar seiring dengan “mahu belajar”? Kalau seiring, maka ada rasionalnya untuk aku berfikir faktor penggunaan bahasa sebagai punca kelemahan. Tapi aku tak dapat melihat rasionalnya sebegitu jika asas pun tak betul. Atas sebab itu aku berpendapat, dengan hanya memilih menggunakan Bahasa Melayu atau Bahasa Inggeris, ia bukanlah satu penyelesaian.

Lagi satu perkara, aku berfikir, tidak semudah itu Tun Mahathir untuk terus melancarkan penggunaan Bahasa Inggeris dalam sains dan matematik. Logikkah bagi kamu untuk berkata, Tun Mahathir tak berfikir panjang? Aku tak tahu kalau untuk perkara ini, Tun terlepas untuk berfikir panjang. Mesti kamu rasa kelakar kalau aku kata begitu bukan? Tapi bagi aku, aku mungkin boleh faham rasional di sebaliknya walaupun aku bukanlah sehebat Tun. Sejarah ada jawapan bukan?

Tapi bukan dalam tulisan ini aku akan cuba utarakan rasional itu. Lain cara, lain hari, lain masa. Bukan senang nak berkata supaya orang faham

Satu lagi, orang berkata, bahasa melambangkan bangsa. Tapi bagaimana ia dilambangkan? Kita mahu belajar Bahasa Korea sebab apa? Mereka ada keupayaan ilmu. Kita mahu belajar Bahasa Jepun sebab apa? Mereka menghasilkan sumber ilmu. Kalau aku kata pada kamu pergi belajar Tagalog (Filipina), kamu mahu belajar? Memang Tagalog itu melambangkan identiti mereka tapi bagaimana ia melambangkan? Ya, mereka memang megah dengan identiti mereka tapi kita lihat bagaimana mereka dimegahkan. Kita bernasib baik sebab ada pembangunan dan kemajuan terancang yang mengagumkan sebagai Dunia Ketiga sehingga orang melihat Bahasa Melayu. Tapi, mahukah satu hari nanti, jika ia cuma melambangkan identiti saja? Di mana jiwanya? Di mana bahasa jiwa bangsa kita? Adakah nanti ia sekadar melambangkan identiti Malaysia seperti Filipina atau kita mahu keunggulan tamadun Malaysia itu? Keunggulan dan kemegahan Islam yang dululah penyebab Bahasa Arab atau Bahasa Islam dipandang dan diangkat sebagai bahasa ilmu. Sekarang di mana Bahasa Arab? Kenapa Bahasa Inggeris? Kenapa tidak Tagalog? Kenapa semua jadi begitu?

Biarlah jiwa bangsa itu kalau boleh dirasai oleh orang luar, betapa ia begitu menjiwai bangsa kita. Kalau boleh, biarlah ia berjiwa seperti mana Bahasa Jepun menjiwai orang Jepun, Bahasa Mandarin menjiwai orang China, Bahasa Korea menjiwai orang Korea. Biarlah kita juga sehebat begitu. Jangan hanya menjadi jaguh kampung, ada identiti tetapi tidak unggul seperti Red Indian di Amerika tetapi adakah orang Malaysia merasai jiwa mereka? Mereka yang mahu tukar kepada Bahasa Inggeris adalah aku kira. Kalau tidak, penatlah pemimpin-pemimpin kita dulu menaikkan maruah dan martabat Malaysia. Tak mungkin kamu mahu berpeluk tubuh saja, bukan?

Apa-apa pun, seperti aku kata, penyelesaian bukan terletak dengan hanya memilih yang mana tapi mana yang perlu dan apa tindakan selanjutnya. Sebab itu aku meletakkan 2 pilihan dan tidak mencadangkan pilihan yang mana. Jadi, apa pilihan kamu dan tindakan kamu?

Friday, May 16, 2008

mana bahasa kamu

Ini bahagian serius. Sebelum ini tidak serius. Makin lama makin bertambah pula tulisan tidak serius aku. Apa cerita dengan kata-kata aku yang mahu serius saja? Haha. Baik. Mari kita berserius. Serius! Yeah..

Satu perkara yang sudah lama menarik perhatian aku tapi tiada kesempatan aku nak tulis, bahasa. Terfikir perkara ini semasa kehangatan berita tentang kerajaan nak tukar pembelajaran sains dan matematik dalam Bahasa Inggeris ke Bahasa Melayu masa aku buat latihan industri dulu. Maksudnya, mengikut tafsiran terus, sudah lama aku terfikir tapi aku masih tidak tulis perkara ini. Sebab? Aku sibuk (alasan sama lagi,bukan). Mesti kamu sudah jangka alasan ini. Haha. Tapi aku jujur, aku sibuk..

Mahu dengar ayat kebiasaan eksekutif negara kita masa berita ini hangat dulu? “Bahasa jiwa bangsa”. Masa begini baru nak berkata. Tapi aku tahu, bukan senang nak berkata masa dulu pun. Agak-agaknya, si mereka-mereka faham ke apa yang mereka cakap? Kenapa kamu mahu Bahasa Melayu? Jangan salah tafsir. Aku tak kata si mereka-mereka tak faham. Cuma kefahaman masing-masing berbeza bukan? Lagipun, aku tak tahu perjuangan mereka secara terperinci. Jadi, mekanisme perjuangan mereka, jujur aku kata, aku tak tahu langsung. Yang aku tahu, mereka mahu tukar. Itu saja. Semudah itu saja, bukan? Tapi memang kebiasaan untuk aku, aku suka menyusahkan diri sendiri. Selalu sangat nak fikir, kenapa itu, kenapa ini. Lepas itu cakap pada kawan-kawan, kenapa itu, kenapa ini. Kadang-kadang rasa serba salah juga aku sebab peningkan kawan-kawan aku yang terlalu berpolitik ini. Tapi apa nak buat, ini adalah aku. Peduli apa aku kalau aku rasa betul. Politik, itu hal kamu. Aku pelajar dan aku cakap apa yang aku belajar. Aku tak mahu berpolitik di sini. Belajar politik, boleh tapi berpolitik, tidak. Yang betul, aku cakap. Yang tak betul, aku tak cakap. Kalau ada yang tak betul aku cakap, kamu beritahu aku. Cantik?

Alasan yang selalu dikaitkan si mereka-mereka tentang kehebatan bahasa ini adalah Jepun. Bagaimana Jepun menguasai ilmu sehingga kalau kita mahu belajar ilmu mereka, kita perlu tahu Bahasa Jepun sebab mereka menggunakan Bahasa Jepun. Secara tidak langsung, mereka berjaya mengembangkan budaya mereka, mengekalkan identiti mereka, meningkatkan darjat mereka dan menakluk dunia dengan identiti mereka. Begitu, bukan?

Aku bukan tak setuju. Aku setuju, malah aku menyokong pun. Aku memang baca sejarah mereka. Terlalu seronok aku baca sampai aku sangat setuju dengan perkataan-perkataan di atas. Tapi, menggunakan Bahasa Melayu dalam pembelajaran, pada pendapat aku, ia cuma satu langkah ke belakang saja kalau tidak betul caranya. Sebab apa? Katakan, dengan mentaliti pelajar Malaysia sekarang, kamu belajar dalam Bahasa Inggeris, kemudian apabila kamu bekerja, sekeliling kamu perlu menggunakan Bahasa Inggeris kalau kamu mahu bekerja. Jadi, kelebihan yang kamu ada adalah kamu berpeluang untuk menjadi lebih yakin, lebih diperlukan dan lebih mudah berkomunikasi. Kerana perantaraan itu menggunakan Bahasa Inggeris dan kamu tahu Bahasa Inggeris. Itu saja. Tak susah. Kamu juga memang fikir begini bukan?

Andaikan, kamu tukar kepada Bahasa Melayu, aku pun tak tahu bagaimana aku mahu terangkan kepada kamu. Cuma, secara mudah, melainkan kamu mahu bekerja sendiri atau berjuang sendiri, kamu boleh menggunakan Bahasa Melayu sebab kamu bagus. Kamu mahu berjuang sekurangnya. Dan hasilnya, kamu berjaya mengekalkan identiti kamu. Betul?

Tak salah semua itu pun. Cuma, pada pendapat aku, aku mahu belajar dalam Bahasa Inggeris sebab Bahasa Inggeris itu adalah bahasa ilmu. Itu saja. Sama seperti kamu belajar Bahasa Arab untuk mendalami Islam sebab Bahasa Arab itu adalah bahasa ilmu bagi Islam. Kamu perlu tahu segala perkataan-perkataan dan istilah dalam bahasa ilmu itu kerana ilmu-ilmu baru akan wujud selepas itu dalam bentuk bahasa ilmu. Jadi, bila kamu mahu belajar ilmu terkini dan penemuan baru, segalanya akan dalam bahasa ilmu itu. Dan bila ia menjadi bahasa ilmu, maka secara tak langsung, ia akan menjadi bahasa ekonomi dan perdagangan. Keadaan yang sama seperti zaman kegemilangan tamadun Islam dulu. Kalau kamu tidak memahami bahasa ilmu, kamu akan mengalami kesukaran untuk meneruskan perdagangan kamu dan aktiviti-aktiviti kamu. Termasuk juga dengan pengaplikasian sains dan teknologi, segalanya diterbitkan dengan bahasa ilmu. Kalau kamu tiada kemahiran bahasa ilmu, bagaimana kamu mahu berkomunikasi dengan jurutera-jurutera mereka dan beraplikasi?

Aku tidak kata kamu tidak boleh menggunakan Bahasa Melayu. Tapi, dalam keadaan sekarang, rasanya wajar kamu mahu Bahasa Melayu itu dalam pembelajaran? Adakah kamu yakin selepas itu kamu akan faham dan mampu berkomunikasi dengan jurutera-jurutera di luar di sana? Adakah kamu mampu untuk mengekalkan identiti kamu dengan Bahasa Melayu nanti bila kamu di luar sana? Aku rasa, tak mustahil kamu akan lebih hilang identiti bahasa kamu dari sekarang bila kamu guna Bahasa Melayu. Aku mahu tanya kamu, kenapa kamu mahu? Adakah untuk mudah, atau untuk mengekalkan jiwa bangsa kamu? Dan kamu pasti, itu cara kamu dan betul?

Selepas ini adalah perkara-perkara penting yang aku cuba sampaikan pada pendapat aku kepada kamu. Sebelum ini, pendahuluan untuk kamu supaya kamu boleh fikir dan faham idea aku nanti. Pembelajaran dalam Bahasa Melayu tidak salah. Aku boleh sokong. Tapi dengan syarat, bagi aku, pastikan sistem pemikiran rakyat Malaysia ini mahu belajar dan bergerak ke hadapan. Dan juga Malaysia, dan semestinya universiti, mesti mahu mencipta ilmu baru. Dan kerajaan, kamu perlu sediakan satu mekanisme, satu pendekatan atau inisiatif untuk jadikan Malaysia ini pengeluar ilmu. Perkara ini perlu sebab bila kita keluarkan ilmu, maka orang luar akan datang pada kita. Orang luar terpaksa belajar pada kita sebab bahasa kita adalah bahasa ilmu. Bila kamu keluarkan ilmu, kamu tidak perlu risau untuk masalah komunikasi sebab ilmu itu kamu pegang. Mereka yang akan merasa risau sebab mereka tidak tahu bahasa kamu dan mereka perlu belajar bahasa kamu untuk ilmu itu. Sama juga dengan Jepun. Mereka mengekalkan identiti mereka sebab mereka keluarkan ilmu. Peduli apa mereka tidak tahu Bahasa Inggeris. Mereka juga mampu mengeluarkan ilmu. Bagi aku, itu adalah sebenarnya jiwa sebab orang mahu belajar bahasa kamu dan sebabnya lagi, bahasa kamu adalah bahasa ilmu. Bagi aku, itu baru bahasa jiwa bangsa. Kamu akan terasa roh jiwa itu kerana cara kamu betul. Kamu menaungi ilmu itu dan kamu berjaya pula dengan bahasa ilmu.

Tapi, kalau kamu tidak mampu mengeluarkan ilmu lagi, bagi aku, kita perlu terus dengan Bahasa Inggeris. Tapi, carikan cara untuk meningkatkan maruah bahasa kamu. Dan caranya bukan secara paksa tetapi perlu dengan cara terhormat. Contoh paling mudah mahu di kata, cipta teknologi. Makin banyak kamu cipta sendiri teknologi, makin tinggi orang luar akan pandang kamu sebab mereka nampak, kamu begitu hebat mengaplikasikan sains. Dan dari penciptaan teknologi sendiri inilah, kamu akan jumpa ataupun berusaha untuk mencari ilmu baru kerana tiada ilmu yang tetap dan ia akan sentiasa berkembang. Dan bila orang luar sudah melihat begitu, rakyat Malaysia yang terlalu bangga dengan bahasa luar ini sekurangnya akan tersedar dengan kehebatan negara kita dan tersedar dengan maruah bahasa kita yang dibanggakan oleh orang luar tapi tidak oleh rakyat kita sendiri. Tapi, kalau kamu asyik bercakap pada mereka, cintailah bahasa kita, cintailah bahasa kita, tapi mereka tidak nampak kepentingan itu disebabkan mereka mempunyai sifat melihat dulu dari berfikir dulu, kamu tak akan membangkitkan jiwa itu. Jiwa itu mesti kamu bangkitkan dengan maruah ilmu dan juga pencapaian. Hanya cara itu saja kamu boleh bangkitkan kecintaan bahasa bagi mereka yang tidak sedar bahasa mereka sendiri itu. Tidak ada cara lain.

Jadi bagi aku, kamu cuma ada 2 pilihan. Gunakan Bahasa Melayu tapi ubah mentaliti untuk jadi hebat dalam ilmu sehingga kita keluarkan ilmu dan menjadi bahasa ilmu. Atau jika kamu tidak mampu, kamu boleh terus dengan Bahasa Inggeris untuk menempuh cabaran dunia sekarang tapi tingkatkan maruah kamu dengan ilmu dan “cipta sendiri” pencapaian sains dan teknologi sehingga rakyat kita yang tidak sedar itu boleh tersedar dengan kehebatan bahasa kita. Dari itu, akan datangnya jiwa bangsa itu nanti. Dan akan tercipta dengan tersendirinya bahasa kita sebagai bahasa ilmu seperti Jepun. Percayalah. Dan kedua-dua pilihan ini perlu usaha yang sepenuhnya dan berterusan sepanjang zaman. Ini bukan soal memilih bahasa mana yang kamu mahu guna tapi ini soal bahasa mana yang kamu perlu guna dan apa tindakan kamu selepas menggunakan bahasa itu untuk kemajuan kamu.

Ini cuma pendapat aku. Aku tanya kamu pula. Apa pula pilihan kamu?

Friday, May 9, 2008

kaburkan mata kamu

Sila ikut arahan aku. Kaburkan mata kamu. Aku mahu bersandiwara sebentar saja. Tutup sebelah mata kamu. Ini supaya kamu tak jemu. Apa-apa pun aku akan selitkan ilmu. Tapi ia tidak akan secara terus pada kamu. Satu terjahan untuk otak kamu. Fikir-fikirlah selalu. Walau macam mana pun, ia akan jadi manfaat bagi aku dan kamu. Mari, sebelum ia menjadi tepu. Yeah..

Sekali lagi aku terpaksa melibatkan diri aku dalam kemelut permainan tag. Tolong aku! Haha. Tak mengapa, aku rasa. Sekadar mengembirakan diri. Aha, apa lagi, mara!

Agak-agaknya boleh ke aku rangkumkan ketiga-tiga orang sekali? Aku tengok perkara-perkara yang nak dijawab sama saja bukan?

Baik. Boleh. Jadi, dengan penuh tulus ikhlas, kepada

puan nesya yang agak kebudakan kecomelan
cik shepha yang ku tunggu cenderahati kurniaanmu
puan fareen yang penuh dengan teori dirinya [hye fareen =) selamat berkenalan]

aku menjawab.

7 fakta aku
1. Lahir 19 Mei 1986
2. Lahir dan menetap di Ipoh
3. Masih meminati muzik
4. Suka waktu riang
5. Paling suka tidur
6. Makan berterabur
7. Hanya suka bosan di Ipoh

7 perkara menakutkan hati
1. Mati tanpa iman
2. Agama hancur
3. Malaysia pincang
4. Hilang kekasih aku
5. Tak merasai perkahwinan indah
6. Mandul
7. Tak capai impian-impian hidup aku

7 muzik secara rawak masa ini
1. Oasis - I wanna live a dream
2. monoLoque - perempuan kalis peluru
3. Goh Nakamura - Embarcadero Blues
4. monoLoque - pecah amanah
5. Radiohead - weird fishes/arpeggi
6. Arctic Monkeys - When the sun goes down
7. Raihan - Ya Rasulullah (jangan sangka aku lupa)

7 perkataan sebutan selalu
1. Tengok dulu
2. Malas la
3. Aku nak tidur dulu
4. Apa-apa beritahu aku
5. Aku tak pasti lagi
6. Aku banyak kerja
7. Serius bosan

7 perkara nilainya istimewa
1. Keluarga aku
2. Otak aku
3. Tubuh aku
4. Sahabat Ipoh
5. Sahabat hidup
6. Pengalaman aku
7. Kamu!

7 kejadian pertama kali
1. Blog - 4 Mac 2008
2. Bercinta - hanya dengan dia
3. Masuk hospital - appendiks
4. Belajar di universiti - tahun 3
5. Drama Melayu - Spa Q
6. Persembahan muzik live - di hadapan dia
7. Keseronokan sahabat - Ipoh tercinta

7 makhluk istimewa harus menjawab
1. Tun Dr Mahathir Mohamad
2. Dia
3. Beliau
4. Baginda
5. Tuan hamba
6. Kamu
7. Awak

Baik. Tamat. Selesai bersandiwara. Tiada pujangga. Hanya fakta. Sekadar bergembira. Tiada lara. Bergurau senda. Mencari makna. Semoga tidak lupa. Jangan tergendala. Hidup terbela. Semoga senang sentiasa. Bersama-sama. Usaha. Selamat maju jaya.

Akhirnya, tamat sudah dari seyn yang sentiasa suka hati. Terima kasih.







Terbela tak tergendala.
Mungkin.

aku gembira!

Gembiranya aku. Tun Mahathir sudah ada blog! Aku rindukan perkataan-perkataan Dr Mahathir yang merangsang aku. Haha. Serius! Betul-betul suka! =)

Monday, May 5, 2008

kenapa kamu mahu?

Tak tipu. Memang aku sibuk. Sebab itu aku tangguh lagi. Baru sekarang ada peluang. Waktu rehat untuk aku pun kena kira juga sebab aku sudah berhempas pulas merasa penat kerja. Tapi apa-apa pun, minta maaf kerana aku membuatkan sebentar masa menjadi segala masa. Terasa macam salah aku juga yang tidak cuba mencuri masa. Ah, pedulikan. Aku baru segar sekarang jadi aku baru boleh menulis sekarang. Kamu tak boleh salahkan aku. Lagipun kamu juga manusia.

Oh, tentang DEB. Perkara yang sudah semakin basi, semakin jarang dibincang oleh si mereka-mereka akhir-akhir ini. Hanya hangat bila surat khabar hangatkan. Sekarang, hangat tentang isu ketuanan Melayu. Dan kedaulatan sultan. Alahai, kelakar juga kronologi zaman walaupun pasti ada hikmahnya. Di mana perbincangan tentang DEB sekarang? Ataupun mereka akan kata ia terangkum dengan isu-isu sekarang?

Baik, sudah tamat. Aku bukan mahu berpolitik. Hanya secebis itu saja, jangan marahkan aku. Aku pelajar yang mahu belajar dan mahu belajar bersama pelajar yang sepatutnya belajar. Jadi, mari kita belajar bersama-sama dari mengikut bersama si mereka-mereka. Haha..

Sebelum urat mata kamu menegang, 2 perkara ini harus kamu pegang ketika kamu mahu pertikaikan atau persoalkan perkataan-perkataan aku selepas ini (perkataan sebelum ini juga tiada kaitan, hanya karutan). Pertama, perkataan-perkataan aku tidak menyentuh tentang relevannya kewujudan DEB sekarang dan juga senario yang sedang berlaku atau yang telah berlaku. Kiranya, kenapa DEB patut ada atau tidak, aku tak sentuh langsung dalam tulisan ini. Kedua, perkataan-perkataan aku belum lagi menjurus kepada perkara-perkara DEB, pelaksanaan DEB, perjuangan DEB, pengubahsuaian DEB atau apa-apa lagi tentang perkara DEB itu. Jadi, sila tanamkan 2 perkara ini dulu sebelum kamu baca yang seterusnya. Senang cerita, jangan pedulikan apa-apa yang berkaitan dengan DEB ini dulu semasa kamu baca perkataan-perkataaan aku ini. Sebab seperti biasa, aku akan kata tentang sesuatu yang bosan untuk orang dengar bila aku mula mengeluarkan perkataan ini, sistem pemikiran. Bosan, bukan? Haha. Peduli apa aku, aku tetap akan berjuang untuk itu.

Sudah tanam atau belum kedua-dua perkara itu? Pastikan dulu sebab aku tak mahu penilaian "politik pelajar-pelajar itu".

Aku selalu cakap ini pada kawan-kawan rapat aku. Apa tujuan kamu mahu DEB? Diri kamu! Bukan si mereka-mereka. Kenapa kamu mahu?

Aku di bumi Malaysia. Orang-orang sekeliling aku ada pelbagai kaum. Dulu Melayu pemilik asal tanah ini. Kemudian orang-orang lain datang kongsi. Harta mereka punya. Usaha mereka diutamakan. Kawasan mereka memanfaatkan. Hidup mereka tidak kemelaratan. Andai kata generasi sebelum aku tidak berakal, tanah ini mereka sapukan. Maka selepas itu timbul suara-suara yang mengatakan, tuntut hak kita. Jadi aku tanya untuk kamu yang tahu, apa hak kita?

Jangan salah tafsir. Aku tak kata kamu tak tahu. Kamu semua tahu. Aku juga tahu. Sehingga yang tidak tahu pun boleh jadi tahu sebab semua orang mahu beritahu. Walaupun ketika mereka kata mereka tahu, semua orang akan berusaha untuk tetap beritahu supaya mereka lebih tahu. Dan aku tidak kata, tidak salah untuk beritahu atau untuk kamu tahu, malah sangat bagus kalau kamu sangat tahu, tapi persoalan aku ialah kenapa kamu mahu tahu dan beritahu?

Andai kata, kamu mahu kesamarataan, maka kenapa kamu mahu kesamarataan? Andai kata kamu mahu hak, maka kenapa kamu mahu hak? Andai kata kamu mahu keistimewaan, maka kenapa kamu mahu keistimewaan? Aha, sedikit penjelasan tentang keistimewaan. Tak salah kalau mahu keistimewaan itu. Itu memang hak penduduk peribumi. Barangkali di mana-mana juga sama. Kalau kamu mahu aku huraikan dari segi fakta dan logik, aku boleh layan kamu. Tetapi untuk perkara ini, aku lebih gemar untuk berbicara tentang diri kamu dulu. Kenapa kamu mahu?

Andaikan kamu berjuang habis-habisan untuk perkara ini. Dan akhirnya kamu berjaya dan dapat. Maka selepas itu, apa yang kamu akan lakukan? Adakah kamu akan duduk bersenang-lenang sambil menggoyangkan kaki kamu, mengatakan hak kita sudah terbela? Atau kamu berazam untuk berjuang dan mempertahankan hak kamu dengan berkobar-kobar sekali mengikut landasan politik selepas itu? Atau kamu hanya berkata, inilah kejayaan yang kita nanti-nantikan. Begitu ke?

50 tahun kita dan mereka semua hidup bersama berkongsi udara. Kita berusaha untuk maju. Mereka juga berusaha untuk maju. Tetapi, mereka ada rangkaian kukuh untuk berjaya. Asasnya telah tercipta. Kalau kita mahu tembus mereka begitu saja, nasihat aku untuk kamu, sila hidup tanpa rehat. Jadi, apa yang kita perlukan adalah bantuan sebab kita tiada asas. Sebab itu datangnya DEB untuk membantu kita mencipta asas supaya kita boleh bergerak ke hadapan. Maka sepatutnya apabila kita sudah dapat asas itu, kita boleh bergerak sama hebat dengan mereka, sama pantas dengan mereka dan sama maju dengan mereka, tanpa bantuan. Kerana apa? Kita ada asas dan bersaing dengan aras yang sama. Kita ada otak dan kita boleh berfikir juga. Kita ada tenaga dan kita boleh usaha juga. Tiada apa yang kita kurang dari mereka. Yang kurang adalah kita cuma bermula lambat, mereka bermula dari dulu lagi. Itu saja. Jadi, semua ini tidak lebih dari untuk membantu kamu menyediakan asas kepada usaha kamu saja. Dan tidak lebih dari untuk membantu kamu saja. Ia bukan satu alat bagi kamu untuk kamu selama-lamanya bergantung padanya untuk kamu hidup mewah. Ia bukan juga satu alat untuk kamu supaya kamu hidup senang. Ia bukan satu alat untuk kamu supaya kamu cepat bergerak. Ia cuma satu alat bagi kamu supaya usaha kamu tidak sia-sia, sebagai bantuan bagi kamu untuk melangkah seperti gergasi. Kamu perlu usaha dengan menggunakan DEB, bukan hidup mudah dengan menggunakan DEB. Ia membantu usaha kamu saja, bukan menampung hidup kamu. Itu saja bagi aku, tidak lebih. Membantu, bukan manampung. Membantu, membantu dan membantu.

Jadi aku tanya kamu sekali lagi, kenapa kamu mahu DEB? Adakah sebab berkobar-kobarnya semangat kamu untuk mempertahankan hak kamu hasil dari perjuangan si mereka-mereka sekarang? Atau sebab kamu takut untuk hidup susah dan mahu jalan senang saja? Atau kamu mahu goyang kaki menikmati hasil DEB bila agenda tertentu sudah berjaya? Begitukah kamu? Aku tanya kamu. Apa yang kamu rasa bila DEB tiada? Takut? Dan kenapa kamu takut?

Aku bukan hebat untuk memberi pendapat tentang sistem pemikiran ini. Otak aku tak hebat macam kamu semua. Dan aku pasti, ramai di luar sana yang ada idea hebat untuk memperkatakan tentang sistem pemikiran ini. Tapi, bagi aku, untuk perkara ini, kalau kamu takut kerana bila kamu sedang berusaha keras, tetapi disebabkan mereka yang lain sudah ada asas yang kuat dan tidak bermula pada aras yang sama dengan kamu dan akhirnya, usaha kamu akan menjadi sia-sia, kamu hebat. Sebab bagi aku, tujuan kamu adalah kamu mahu usaha. Itu saja. TUJUAN KAMU ADALAH USAHA. Kamu mahu bertanding. Kamu mahu tunjuk bahawa kabilah kamu ini hebat. Dan ada otak yang hebat. Ada sifat yang hebat. Ada keazaman yang hebat. Apa yang kamu perlukan untuk buktikan kehebatan kabilah kamu adalah, bermula pada aras yang sama. Mereka usaha dan kamu juga usaha, tetapi pertandingan itu bermula pada aras yang sama. Dan untuk apa juga semua itu? Untuk membentuk sistem pemikiran mereka supaya tidak memandang rendah pada sistem pemikiran kamu. Lagi sekali aku ulang, membentuk sistem pemikiran mereka supaya tidak memandang rendah pada sistem pemikiran kamu. Sebabnya, kamu mahu berusaha dan sedang berusaha. Dalam perkataan lain, sistem pemikiran mereka tidak memandang kamu malas. Dan sistem pemikiran mereka tidak memandang rendah pada keupayaan kamu.

Kehebatan kamu sebenarnya bukan terletak pada tubuh kamu walaupun ada orang pandang begitu. Kehebatan kamu sebenarnya bukan terletak pada wajah kamu walaupun ada orang pandang begitu. Kehebatan kamu bukan terletak pada harta kamu walaupun ada orang pandang begitu. Kehebatan kamu bukan terletak pada asal-usul kamu walaupun ada orang pandang begitu. Malah kehebatan kamu juga bukan terletak pada keistimewaan kamu walaupun ada orang pandang kamu begitu. Bila manusia berkata kamu hebat, dan sejarah kata kamu hebat, ia adalah disebabkan sistem pemikiran kamu hebat. Itu saja. Untuk mencipta sistem pemikiran yang hebat, seperti yang aku kata dulu, apa pegangan kamu. Kerana bila kamu ada pegangan, kamu akan ada tujuan. Dan bila tujuan kamu betul, kamu boleh jadi hebat. Semudah itu yang aku nampak. Cuma bahagian yang sukarnya, adakah kamu mahu berjuang dengan sistem pemikiran kamu itu nanti. Lihat saja Tun Mahathir. Kamu juga tahu bukan? Kamu juga mampu jadi sepertinya. Tidak percaya? Cubalah berusaha berfikir. Oh, bagi mereka yang kurang mengerti bahagian ini, baca balik tentang apa pegangan kamu. Itupun kalau kamu rajin untuk membaca.

Lihat, apa yang aku persoalkan ialah kenapa kamu mahu. Dan apa tujuan kamu. Itu saja. Kamu pelajar dan kamu harus bentuk sistem pemikiran kamu dengan betul dulu. Jangan biarkan si mereka-mereka kaburkan perjuangan kamu sebagai pelajar. Aku cuma mahu mengajak kamu berfikir tentang diri kamu, kenapa kamu mahu? Aku tahu, bukan senang nak berkata secara ideal tanpa melihat realiti. Tapi kalau ideal tidak menjadi rujukan kamu dalam menghadapi dunia realiti, jadi kamu ikutlah si mereka-mereka. Memang kamu layak mengikut pun. Tapi bagi aku, sebelum kamu pergi jauh tentang DEB ini, sebelum kamu berbicara tentang isi-isi DEB ini, sebelum kamu berjuang bagi DEB ini, aku mahu tanya kamu, apa tujuan kamu? Kenapa kamu mahu?

Fikirkan sebagai pelajar.