Wednesday, March 26, 2008

bila akar kita?

Daun itu segar menghijau
Daun itu ramai rakan
Daun itu ada bala
Daun itu meliputi tanah
Daun itu dikejar rakus
Daun itu menyebar udara
Malah kata orang itu daun mengubat sakit

Orang itu alpa
Semua perkara hanya pesta
Kalau tak dapat sanggup dusta
Yang baik banyak tak suka
Ada balasan baru boleh bertanya
Kebaikan mesti pulangnya harta
Otak sebentar tiada masa
Bila kena pandai buang kata
Bila perlu diam saja

Daun itu orang suka
Daun itu orang jaga
Daun itu dilindungi sepenuhnya
Daun itu selalu dipuja
Daun itu dikatakan berharga
Daun itu dikatakan kekuatan maya
Daun itu dikatakan membela

Lapisannya mereka halusi
Hijaunya mereka tutupi
Dalam genggaman dijaga rapi
Tiada benda boleh hampiri
Airnya dicurah berhari
Orang itu sangat pasti
Hijaunya pasti sentiasa berseri

Orang lain kata orang itu ortodoks
Orang itu jaga salah
Orang itu rosakkan daunnya
Orang itu tiada mengkaji
Orang itu menganiaya
Orang itu singkat fikirannya

Maka orang lain mengambil dahannya
Orang lain menjaga dahannya
Orang lain mencurah dahannya
Orang lain terus dengan syarahannya
Orang lain kata ini caranya
Orang lain gembira kerananya
Orang-orang lain maju bersamanya

Esok daun itu mungkin tiada hijau
Esok daun itu mungkin singkat udara
Esok daun itu mungkin hilang seri
Esok daun itu mungkin jauh dikecapi
Esok daun itu mungkin hanya mimpi

Esok orang itu berbalah lagi
Esok orang itu buang kata lagi
Esok orang itu marah lagi
Sehingga akhirnya orang itu dapat lagi
Dan esoknya orang itu lupa lagi

Esok orang lain berdiam diri
Esok orang lain cuba cari lagi
Esok orang lain cuba bersyarahan lagi
Sehingga akhirnya esok orang lain dapat lagi
Dan esoknya mula kembali episod lupa diri

Dan bila tiba hari akhir keesokannya
Daun itu melayu
Melayu dan terus melayu
Orang itu dan orang lain terkaku
Mereka kata ini bukan salahku
Tapi pernah mereka mahu fikir ini semua sebelum berlaku?

Akhirnya bagi orang itu, orang lain dan orang-orang lain
Warisan yang pasti hanya melayu…

Masih tak mahu?

hakcipta terpelihara : muhsin

Thursday, March 20, 2008

kita maju?

Satu hari ada orang buat aku berfikir, apa tujuan universiti aku ditubuhkan? Bagaimana universiti aku beroperasi? Atas dasar apa universiti aku merancang? Dan fikiran aku juga melayang, macam mana negara pandang universiti aku? Dan aku juga terfikir, apa hala tuju universiti aku? Bagus sungguh orang itu, boleh membuat aku berfikir. Terima kasih.

Masa aku mula masuk universiti aku, aku merasa bangga kerana aku yakin universiti aku dapat memenuhi aspirasi aku untuk menjadi seorang professional yang ada kemahiran teknikal dan berpandangan jauh. Jangan salah sangka diri aku. Ayat itu tak bermaksud aku sekarang tidak berbangga. Aku masih merasa bangga. Dan aku bangga juga sebab aku belajar di universiti yang dibina di tanah Malaysia. Sila ambil perhatian, aku bangga dengan tempat aku belajar sekarang dan aku akan buktikan kehebatan graduan tempatan boleh meninggalkan jauh graduan luar negara. Yang penting, cara berfikir kita saja, saudara Australia. Dan diharap juga tiada tafsiran yang salah pada diri aku. Cuma aku terfikir, apakah kita berada di landasan yang betul? Jujur, aku masih berfikir dan tidak tahu jawapannya lagi.

Di atas ini hanya permulaan. Selepas ini baru ini baru warnanya. Maaf, hanya karutan aku di atas itu. Jadi mari aku bawa kamu terus pada tumpuan utama aku kali ini.

Universiti aku ditubuhkan atas dasar untuk memenuhi keperluan industri. Dalam suasana negara kita yang masih pesat membangun dengan kerancakan industri semasa dan kemunculan industri baru, kita memang memerlukan individu yang hebat untuk melayani dan menjaga industri negara kita. Pertambahan dan kerancakan industri bermakna pertambahan dan kerancakan keperluan tenaga manusia. Tidak kisahlah tenaga fizikal atau tenaga otak. Jadi disebabkan begitu, penubuhan universiti ini adalah selari dengan aspirasi negara dan memenuhi Wawasan 2020. Apa kata kamu? Setuju?

Baik. Aku mula dengan perkara pertama. Apa itu keperluan industri? Sebelum itu, semua yang aku tulis selepas ini adalah pendapat aku dan jika salah, maaf. Dalam kita menjana kemajuan negara, kita perlu pelbagaikan industri kita supaya kita lebih berdaya saing. Kita perlu menjelajah industri masa kini supaya kita tidak ketinggalan. Kita perlu menjadi salah seorang pemimpin dalam pembangunan industri supaya kita dapat menaungi industri mengikut acuan dan budaya kita. Jadi aku berfikir, untuk memenuhi ciri-ciri di atas, barangkali apa yang industri perlukan supaya matlamat mereka tercapai dan mampu memenuhi ciri- ciri di atas?

Ada 2 kemungkinan pada aku. Pertama, industri perlukan individu-individu yang mampu memajukan penyelidikan dan pembangunan atau perkataan popularnya, R&D. Bahagian ini selalu dihebahkan sebagai bahagian terpenting dalam sektor industri. Kedua, industri perlukan tenaga mahir dan profesional. Tenaga yang mampu mengurus, membangun dan memimpin ke arah masa depan. Tenaga ini merupakan penggerak industri untuk sentiasa berjalan dengan mata jelas, tidak dengan mata rabun. Jadi berdasarkan pendapat aku ini, penubuhan semua universiti-universiti adalah untuk mendapatkan golongan yang ada ciri di atas. Begitu ke?

Pergi ke perkara kedua pula. Negara kita ada banyak universiti yang ditubuhkan untuk kita. Dan di negara kita, ada 4 universiti yang kita boleh golongkan sebagai “universiti elit”. Orang di atas sana kelaskan kumpulan universiti ini sebagai universiti penyelidikan dan pembangunan kerana mereka elit, mereka telah lama tertubuh dan mereka ada asas. Baik, tamat.

Persoalan aku adalah ini, siapa aku? Mari ikut aku lihat perkara kedua dulu. Bagi aku, kenapa universiti R&D hanya perlu 4? Ya, aku sedar kumpulan universiti ini telah lama dan mereka ada asas. Mereka telah cukup stabil untuk bergerak sendiri. Cuma aku melihat ini mungkin satu kerugian untuk negara. Kenapa? Bagi aku, aku melihat hampir semua pelajar sama saja. Aku tak melihat kawan-kawan aku di kumpulan universiti ini hebat dan aku juga tidak melihat kawan-kawan aku di luar kumpulan universiti ini lemah. Berapa ramai yang aku lihat boleh digelar hebat jika suasana, infrastruktur dan peluang diberikan sama kepada kawan-kawan aku di luar kumpulan ini. Dan berapa ramai yang aku lihat sama saja dengan yang tidak hebat dikeliling aku walaupun mereka dibantu sebegitu rupa. Jikapun mereka hebat, aku boleh andaikan mereka diberi infrastruktur lengkap, pensyarah yang hebat ditempatkan di sana, peralatan lengkap dan sistem universiti mereka telah lama menjalani eksperimen lalu boleh diubah dan ditukar mengikut acuan pengalaman. Tetapi hasilnya, berapa ramai yang hebat terhasil? Dan adakah bila infrastruktur, suasana dan ruang yang seimbang diberikan, mereka di luar kumpulan ini tidak boleh hebat? Aku sangat yakin, bila peluang yang sama diberikan kepada selain kumpulan ini, negara ada ramai orang yang hebat. Tak percaya? Sekeliling aku ada ramai orang berpotensi tapi tiada peluang. Mahu kenal?

Satu lagi kerisauan aku. Kenapa perlu 4? Kalaulah bilangan pelajar di kumpulan ini mewakili majoriti pelajar di seluruh negara, maka baguslah bagi negara. Itu bermaksud bahawa negara kita memang sedang menuju ke arah kemajuan. Mereka sedar dengan rangsangan dan insentif yang diberikan, para pelajar akan lebih maju dan terbuka. Sebab itu ia perlu membangunkan seramai mungkin orang berfikir yang hebat. Sebab negara maju perlukan ramai orang berfikir yang hebat. Jadi bila begitu, sekarang negara ada majoriti orang hebat. Begitu bukan? Tapi, kalaulah bilangan mereka hanya minoriti, maksudnya aku boleh menganggap bahawa negara sedar kita masih tidak maju. Rakyat masih tidak boleh berfikir maju. Rakyat masih tidak boleh melakukan perkara yang maju. Rakyat masih tidak boleh melangkah seperti gergasi. Dan bilangan mereka seperti ini ramai. Sebab itu mereka perlu menumpu supaya mereka boleh mengawal dan beri perhatian istimewa. Mereka perlu kelompok kecil sebagai pelapis atau perangsang untuk mereka bergerak depan. Jadi kalau begitu, aku tertanya, adakah kita menuju ke arah kemajuan dengan hanya mahu sedikit orang saja yang boleh berfikir hebat? Dan aku tak pasti, kita sedang maju dengan begitu ke?

Sekarang ikut aku lihat perkara pertama pula. Satu kemungkinan yang aku sebut adalah industri perlu pekerja mahir dan profesional. Maknanya kalau keperluan industri hanya ini, jadi aku boleh anggarkan kita tidak cukup pekerja mahir dan profesional. Bila kita tidak cukup, adakah ia melambangkan kita terlalu banyak mencipta peluang kerana kerancakan kemajuan kita sehingga kita tidak mampu memenuhi peluang itu atau kita memang tidak ada ramai orang sebegitu dari dulu lagi kerana ramai orang masih tidak mampu mahir dan profesional? Kamu faham? Fahamkan dulu kalau tidak faham. Kalaulah kita memang tidak ada ramai orang yang mampu sebegitu, maknanya adakah negara kita ada ciri-ciri maju? Adakah kita menuju kemajuan?

Satu kemungkinan lagi, kita perlu tenaga R&D. Kalau begitu, adakah kita sekadar menyediakan penyelidik untuk keperluan industri? Penyelidik untuk sesuatu yang telah wujud dan hanya cuba mengembangkan saja. Jangan salah tafsir, aku tidak kata ia salah cuma takrifan maju aku sedikit radikal. Jadi kalau begitu, bagi aku, kita masih tidak bersedia, masih jauh lagi untuk berbicara tentang ilmu sains yang belum dijelajahi, tentang bidang yang sofistikated, tentang ilmu yang menentang logik masa kini. Dan kalau kita sebegitu rupa, adakah kita maju? Kita sedang maju ke? Dan kalau kita mengejar kedua-dua kemungkinan itu pun, kita maju ke? Kita sedang menuju kemajuan ke?

Sekarang aku kaitkan perkara pertama dan kedua. Dan dalam bentuk kesimpulan. Bagaimana negara memandang kemajuan itu? Dan mengejar kemajuan itu? Adakah negara mengejar kemajuan dengan merancang supaya generasi aku hanya bergerak seiring dan sejalan sahaja? Tanpa sistem pemikiran yang maju? Adakah negara hanya menubuhkan universiti sekadar memenuhi keperluan industri? Adakah kita hanya mengikut saja negara maju tanpa mahu melangkah jauh? Bila mereka 10 langkah ke hadapan, kita juga mahu sepuluh langkah ke hadapan. Kenapa tidak selangkah lebih? Ataupun lebih dari selangkah lebih? Kita hanya kejar 10 langkah saja. Itu maju ke? Sudah maju ke sistem pemikiran kita? Biar aku ulang semula. Sistem pemikiran kita.

Bagi aku, untuk menjadi negara maju, universiti perlu berperanan bertindak lebih jauh lagi ke lapangan ilmu. Matlamat universiti perlu melebihi keperluan industri. Aku ulang, perlu lebih dari keperluan industri. Biar industri yang mengikut kita, bukan kita. Kalau kita hanya memenuhi keperluan industri, bagi aku, kita telah rendahkan martabat universiti kita sendiri. Dan ilmu kita sendiri. Kita telah menidakkan peluang universiti untuk menjelajah ilmu yang lebih luas dan menakjubkan. Aku berpendapat, kita perlu mencipta ilmu yang melebihi keperluan industri sehingga kita mampu mencipta satu industri baru. Jangan biarkan orang lain mencipta industri baru kemudian baru kita nak mula. Masa tu, kita “memang maju”. Jadi, adakah negara maju kita hanya sekadar memenuhi keperluan industri? Bagi aku, ini yang dikatakan hanya maju dari segi luaran dan infrastruktur tapi tidak maju dari segi fikiran. Kerana apa? Sebab, aku tanya kamu, bagaimana sistem pemikiran kita semua? Maju?

Jadi siapa aku? Bagaimana mereka mahu membentuk aku?

Mungkin kamu semua lebih jelas untuk memberi idea. Aku masih lagi berfikir. Tentang sesuatu perkara yang aku sedang berfikir, aku tahu bukan senang nak berkata tentang sesuatu itu.

Tuesday, March 11, 2008

kabilah?

Kalau aku baca perkataan ini, otak aku akan melebar ke lain tempat. Bukan setakat ke sini aku melebar, malah melebihi ke sana pun aku boleh melebar juga. Dan ini juga kali terakhir aku akan melebar dalam politik. Selepas ini blog aku mesti aku tampilkan sebagai satu tempat untuk aku melaksanakan tanggungjawab aku sebagai pelajar. Isu-isu pelajar mungkin kurang aku cakap nanti, apa guna MPP kan tapi apa yang aku patut fikir, kerah otak, fikir,kerah otak dan sumbangkan sebagai satu tanggungjawab seorang pelajar mesti aku utamakan. Aku dah kata dulu kan yang aku nak serius..

Artikel ini bukan bermaksud bahawa ada orang tuduh aku berkabilah. Bukan juga mengatakan bahawa ada orang cakap aku berfikiran berkabilah. Dan tak juga aku kata yang ada orang kata aku bersemangat kabilah. Cuma kerisauan aku adalah aku fikir mungkin ada orang yang akan berkata bahawa aku adalah orang seperti di atas itu. Jadi aku rasa aku perlu jelaskan dengan berhati-hati supaya setiap orang yang membaca, komen dan emel aku akan cuba faham dengan apa juga yang aku cuba kata sebelum ini.

Aku tak tahu apa maksud sebenar kabilah. Atau lebih tepatnya, apa maksud kabilah itu secara literal atau juga objektif. Tapi aku cuba faham mengikut pemahaman aku, pemikiran aku dan pengalaman aku. Mungkin kabilah itu bermaksud sesuatu yang hanya berada dalam lingkungan itu. Atau yang berada dalam kawasan itu saja. Betulkah itu kabilah? Biarlah. Itu bagi aku,faham. Dan aku tidak rasa ia lari konsepnya.

Ada orang menasihati aku supaya aku jangan berkabilah. Dan aku menerima nasihat itu sebagai satu panduan dan pegangan aku dalam sistem hidup aku. Dan juga sebagai satu ingatan aku sepanjang masa. Malah sebenarnya, dalam apa juga cara aku pun, sememangnya aku jarang berkabilah pun. Terlalu jarang pun. Tapi kabilah pada muzik, ya itu betul. Tapi itu bahagian yang tidak serius. Jadi abaikan saja.

Terus saja pada arah aku. Aku mengaku tulisan aku sebelumnya bersifat emosi. Tapi emosi aku pada akal aku. Emosi aku pada fikiran aku. Dalam hidup aku, jarang emosi aku terletak pada perasaan aku. Kalau emosi aku terletak pada perasaan aku, memang aku tidak akan tulis dalam blog aku. Kecuali jika orang kesayangan aku tiada lagi di dunia atau yang lebih sedih lagi, mungkin ada tulisan itu. Sebab bagi aku sebarang kata-kata yang melibatkan emosi selalunya sensitif. Jadi kita perlu berhati-hati dalam tutur kata, dalam tindakan dan dalam pemikiran. Sebab itu kita perlu mengawal emosi kita supaya ia sekurangnya bersifat rasional dan bersifat relevan.

Bila aku menulis, aku tahu apa yang aku tulis. Aku faham apa aku tulis sebab sekurangnya aku berusaha pegang pada prinsip dan falsafah. Dan bagi aku prinsip dan falsafah itu penting. Kenapa? Bukan dalam tulisan ini pasal perkara prinsip dan falsafah ini. Kemudian hari pasti. Perkara yang baru berlaku ini bukan sesuatu yang kecil tapi besar dalam pelbagai pandangan. Dan pada pandangan aku, untuk membuat sesuatu keputusan, kita harus berfikir keputusan itu sebaiknya. Dan cuba pegang sesuatu untuk dijadikan sebagai asas dalam kita membuat keputusan. Kemudian fikirkan semula. Dan analisa. Jangan malas. Jangan emosi. Sebenarnya apa yang kita buat adalah untuk kepentingan diri sendiri. Tapi kepentingan diri sendiri yang aku maksudkan itu adalah sesuatu yang kekal, yang pasti akan dijadikan sebagai keuntungan bagi diri kita selepas kita mati. Jadi bagaimana kita mahu jaga kepentingan diri sendiri kita yang kekal itu? Bagi aku, itu adalah pegangan.

Bila kita ada pegangan, sesuatu perkara itu lebih mudah untuk kita fikirkan. Katakan sesuatu itu perlu kita putuskan secara segera, yang akan membantu kita adalah pegangan. Pegangan itu juga bergantung pada individu. Apa juga pegangan yang mereka pegang, itulah yang akan menjadi asas dalam hidup mereka. Katakan pegangan mereka komunis, jadi apa yang akan terbentang di mata dunianya adalah komunis. Katakan pegangan mereka hanya hiburan, maka dunia yang dilihatnya pada celah mata mereka adalah hiburan. Dan pegangan itu sesuatu yang sangat subjektif. Hanya sesetengah pegangan adalah objektif dan dicipta untuk kita. Jadi terpulang pada kita, apa pegangan kita. Pegangan anda pula?

Orang-orang yang hebat semua ada pegangan. Kalau kamu mahu contoh dalam negara, lihat Tun Mahathir, lihat Ungku Aziz, lihat Syed al-Attas. Mahu luar negara? Lihat Ahmadinejad, lihat Warren Buffett, lihat Saddam Hussein. Nak ilmuan Islam? Umar Abdul Aziz, al-Ghazali, Imam Syafie. Dan semestinya Muhammad adalah yang terbaik. Nak ahli seni? Lihat Aristotle, Galileo. Kita boleh belajar. Yang penting cuma cuba berfikir walau sedikit tapi berterusan. Dan aku tak kata apakah pegangan yang kamu perlu pegang, sebegitu pegangan yang kamu perlu ada. Cuma aku hanya cuba tanya, apa pegangan kamu untuk hidup?

Dalam aku mengutarakan pendapat aku, aku juga ada pandangan. Pandangan aku adalah berdasarkan kepada agama aku. Bagi aku, agama aku sudah cukup lengkap. Agama aku mengajar aku bagaimana individu yang bagus itu boleh dibentuk, bagaimana pemimpin yang bagus itu boleh dicipta, bagaimana masyarakat yang bagus itu boleh hidup, bagaimana dunia yang indah itu boleh tercipta, bagaimana manusia yang pelbagai boleh hidup bersama dengan harmoni, bagaimana ekonomi yang makmur itu boleh berjalan. Aku tidak mengatakan aku ini orang agama, aku ini tinggi ilmu agama. Tapi aku sedar aku kurang pada bahagian itu dan aku cuba mengejar. Aku berusaha ke arah itu dan sentiasa mahu berusaha. Dan dalam masa yang sama aku cuba menyumbang kepada pembentukan tiang agama aku yang aku sayang ini dengan kapasiti aku sekarang sebagai pelajar sebab bagi aku, itu salah satu tanggungjawab aku dalam agama aku. Jadi pandangan aku ini boleh aku katakan sebagai pegangan aku sekarang. Mungkin pada masa hadapan akan berubah sedikit. Berubah dari segi tanggungajawab, dari pelajar kepada jurutera. Mungkin. Tapi aku percaya pegangan ini adalah pegangan terbaik. Pegangan ini mengajar tentang tanggungjawab pada diri sendiri, pada agama, masyarakat, negara dan dunia. Aku percaya pegangan ini akan menjamin kepentingan diri aku selepas aku mati nanti. Sebab ia lengkap. Ia mengajar bagaimana aku harus hidup dalam persaudaraan yang pelbagai sambil mengajar cara untuk membentuk peribadi yang bagus dan startegi untuk mempertahankan agama aku. Aku sangat percaya.

Sepanjang pengetahuan aku,agama aku ada mengajar aku tentang persaudaraan. Maaf jika aku silap. Betulkan aku. Persaudaraan dalam agama aku melibatkan semua manusia di dunia. Walaupun mereka berlainan, terdapat cara yang lebih bagus, sopan dan berakal untuk melayan mereka. Sebab itu dalam cara aku, aku selalu mengatakan, fikir juga orang lain. Dan bila aku mengatakan begitu, pada masa itu muncullah suara yang mengatakan aku ini tidak bersemangat kabilah. Dan kata mereka, aku harus juga memikirkan kabilah aku. Jangan dibiarkan kabilah aku ditindas atau dihina. Bila aku mengatakan, mereka juga ada hak sebab mereka juga ada kehidupan yang sama seperti kita yang memiliki sebuah kehidupan juga, mereka ulang semula, aku perlu pertahan kabilahku. Bila aku utarakan kita kena bersikap adil dan saksama supaya kabilah kita dan yang paling penting agama kita dipandang mulia, dibalas mereka pula kita tidak boleh percaya sebab mereka itu tidak akan baik seperti kita. Pelik tapi itu kehidupan! Dan sekarang bila aku cuba mengatakan bahawa kita perlu pertahan agama kita, mereka akan kata “seyn, jangan berfikiran kabilah”. Kabilahkah aku? Aku rasa tidak kabilah. Kabilah ke? Jika aku kabilah pun, kabilah aku mungkin pada sistem pemikiran aku yang akhirnya akan menjurus ke sudut pegangan aku. Kalau mahu kata juga aku mengamalkan kabilah, biar aku mudahkan kamu, kabilah aku adalah pada sistem pemikiran aku yang menjurus kepada agama aku.

Aku tidak kata sebarang kata. Aku akan cuba berfikir walaupun aku tidak sehebat kamu. Tapi yang penting adalah usaha kita untuk berfikir. Dan bagi aku, tanggungjawab aku adalah menyampaikan kerisauan aku pada perkara yang sedang berlaku. Aku tidak kata pandangan aku sebelumnya adalah realiti tapi itu adalah kerisauan aku yang aku takut akan menjadi realiti. Aku cuma risau kita ini hanya menolak duri tapi memilih racun. Jangan disebabkan kita menolak kebodohan, kita memilih kemusnahan. Dalam apa jua sekali pun, pegangan mesti ada. Dan jika apa yang berlaku ini adalah pegangan semua orang, dan jika ia melanggar agama aku, tidak mustahil aku akan bangkit sehebatnya untuk menentang walaupun aku tahu aku kerdil, tidak seperti kamu.

Selepas ini, jangan kata aku tidak melaksanakan tanggungjawab aku sebagai sebahagian dari “kabilah kamu” pula nanti. Aku sudah sampaikan apa pendapat aku. Dan jangan kamu menjerit pada aku untuk memelihara kabilah kamu pula selepas ini padahal kamu sudah memperkatakan, jangan berkabilah. Seperti aku kata, apa pegangan kamu yang mampu memelihara kamu? Dan sejauh mana kamu mahu memahami pegangan kamu itu? Dan bagaimana pula kamu mahu berpegang teguh pada pegangan kamu itu? Itu semua penting. Kita yang memilih dan kita yang berfikir. Bagi aku, aku telah selesai di sini dan akan ke sana pula selepas ini. Jangan menjerit pada aku tentang pilihan kamu selepas ini. Kehidupan aku tidak berkabilah. Aku rasa aku mampu hidup dengan kabilah lain walaupun janggal. Aku kenal diri aku dan pegangan aku yang boleh menyebabkan aku hidup sebegitu.

Bagi aku, memilih biar bijaksana. Memilih biar ada pegangan. Memilih biar berfikir. Memilih jangan emosi. Kenali latar belakang. Kenali sejarah. Fikirkan latar belakang. Fikirkan sejarah. Dan fikirkan arah tuju kita. Rancang strategi. Jangan malas sangat berfikir. Cuba sekali-sekala berfikir berat. Bila lagi? Jangan malas berfikir. Dan jangan biar hala tuju itu dimusnahkan oleh orang yang memang berpegang pada sesuatu yang boleh bertentangan dengan agama kita. Jangan biar agama kita ditindas satu hari nanti. Pastikan pegangan mereka. Apakah pegangan mereka itu ada potensi untuk menentang agama kita semua (pada yang muslim)? Jangan malas berfikir. Selarikan perjuangan kamu dengan pegangan kamu.

Tulisan aku ini bukan ditujukan pada individu. Aku tulis secara terbuka. Maaf, aku tidak pandai berkata cantik. Perkataan aku tidak mempesona. Nada suara aku tidak retorik seperti kamu. Aku sedar aku kerdil. Tapi apa yang betul, kita kena sampaikan. Apa yang salah, kita tolak. Apa yang aku salah, maafkan aku dan tolak. Itu pendapat aku. Dan ini adalah tulisan akhir aku yang berkaitan politik. Selepas ini, mungkin lambat lagi. Tapi yang pasti, aku adalah seorang mahasiswa yang mahu berubah serius setelah banyak bersandiwara. Mungkin bagi orang yang tidak betul-betul kenal aku, sukar untuk menerima. Tapi aku juga tahu, bukan senang nak berkata.

Sunday, March 9, 2008

maaf, aku terpaksa.

Sebenarnya ini perkara yang kalau boleh aku paling tak nak tulis sekali,politik. Politik merupakan sesuatu yang sensitif tapi perlu ada. Sensitifnya terletak pada banyak faktor dan setiap faktor mempunyai ciri-ciri yang berbeza. Sehingga ada ciri-ciri itu bercanggah antara satu sama lain. Dan bila ia bercanggah, maka ia boleh menimbulkan perbalahan sama ada secara fizikal atau pun pemikiran. Dan aku tak mahu berbalah pun sebab aku kurang minat. Tapi atas dasar “menghormati pandangan kawan aku“, aku rasa aku perlu tulis apa yang aku fikirkan dan apa juga kerisauan aku.

Sangat mengejutkan bila aku menunggu dan menonton keputusan pilihanraya baru-baru ini. Sampai aku takut nak tidur menunggu keputusan. Faktanya, BN hilang majoriti 2/3 dan kali pertama dalam sejarah. Dan juga pembangkang berjaya membentuk kerajaan di 5 negeri, Kelantan, Kedah, Perak, Selangor dan Pulau Pinang. Malah nama-nama besar BN juga kalah dan kesinisan tiba-tiba terwujud secara amat nyata. Perkataan-perkataan yang keluar tiba-tiba menjadi sederhana dan perlahan agresifnya (mungkin tiada). Sehingga musuh bagi “angkuh” itu, ”muhasabah” tiba-tiba terpacul di mulut mereka. Wahh..

Untuk pilihanraya kali ini, Tun Mahathir ulas, kemenangan BN bukan disebabkan sokongan rakyat kepada pembangkang tapi penolakan BN oleh rakyat. Mereka tiada pilihan, sama ada mereka mengundi pembangkang atau mereka merosakkan undi atau tidak mengundi. Dan bagi diri aku, aku setuju tentang apa yang diperkatakan oleh Tun Mahathir. Kenapa?

Awal-awal lagi aku mengatakan pada semua kawan-kawan aku, kalau BN kalah, bagi aku bukan kerana rakyat tidak mahu BN tapi rakyat tak suka BN. Orang tak suka siapa yang buat benda bodoh. Aku pun tak suka. BN bagi aku seperti memperbodohkan diri sendiri. Apa bodoh yang aku kata itu?

Banyak! Tapi paling utama, mereka bermain salah dengan tahap kecerdikan generasi muda dan baru. Generasi sekarang ini bukannya seperti dulu. Sekarang orang lebih kritis, bersifat mencari dan bersifat kreatif. Sesuatu perkara itu akan ditimbulkan seribu persoalan oleh orang sekarang dan mereka cuba mencari apakah jawapan kepada persoalan itu sehingga otak mereka ini akan berfikir secara lebih kreatif untuk jawapan itu. Dan jika mereka tidak dapat juga jawapan itu, maka mereka akan mencari jawapan dari sumber lain dari otak mereka. Bila mereka mencari jawapan mengikut sumber luar dari otak, di situ akan terletak segala kemungkinan untuk mencipta segala jawapan yang berlainan bagi satu persoalan. Dan manusia ini sebenarnya mudah terpengaruh jika prinsip dan falsafahnya tidak jelas. Bila sumber yang memberi itu beragenda (dan sememangnya pilihanraya perlu beragenda), maka kecenderungan mereka untuk menyokong agenda itu akan lebih mudah.

Tapi sayang, BN salah strategi. Mereka guna sumber secara bodoh. Mereka guna media secara bodoh. Mereka kata ini media yang bebas tapi media ini tidak jelas bebasnya dan tidak nyata bebasnya. Mereka kata ini media rakyat tapi mereka tidak menampakkan kerakyatan dalam media itu. Semua itu salah. Melainkan mereka berterus-terang mengatakan ini media mereka, jadi orang tidak akan memperkatakan BN itu bodoh. Orang sekarang lebih kritis, mereka akan kritis terhadap segala apa yang BN kata dan buat. Sekarang tidak seperti dulu lagi, hanya menerima jawapan dan rasanya BN memang sedar perkara ini. tapi masih buat benda sama juga? Aduh, bodoh! Orang sekarang akan kritis untuk sesuatu jawapan. Dan bila jawapan untuk kritis itu menjurus kepada bodoh, mual, mereka pasti akan lari. Bila mereka lari, mereka akan mencari sumber lain. Dan tentunya sumber-sumber ini dilihat lebih menyegarkan, lebih kebebasan, lebih berlainan dan lebih indah, dan bila sumber-sumber ini saja yang menjadi rujukan mereka, maka apakah pertahanan BN bila sumber-sumber ini mengemukakan tohmahan kepada BN? Dan orang sebegini pula tidak merujuk “media bebas” mereka lagi? Apa pertahanan BN?

Cuba media bebas ini mereka benar-benar maksudkan kebebasannya. Jadikan maklumat itu bersifat dua hala. Jadikan maklumat itu boleh dibandingkan. Jadikan maklumat itu mudah didapati. Jadi untuk setiap tohmahan dari arah yang berlainan, arah yang satu lagi boleh menjawab dan begitu sebaliknya. Dan semua itu dijadikan ia dalam satu sumber yang benar bebas. Maka orang sekarang yang berfikir ini mudah untuk menganalisa, mudah untuk mentafsir dan mudah untuk memerhati. Jadikan media itu betul-betul bebas, liberalkan media itu supaya orang tak label kamu bodoh dan mereka lari!

Lagi satu faktor yang berkesan ialah Anwar Ibrahim. Aku tak mahu cakap banyak sebab kawan-kawan aku yang fanatik Anwar Ibrahim tentu mempertikaikan aku. Tetapi realitinya, penerimaan orang terhadap Anwar berkait rapat dengan kebodohan BN mempergunakan media. Dan BN terlalu memandang rendah faktor Anwar Ibrahim. Anwar ini banyak pengikutnya. Dan sekarang secara tak langsung, BN menambahkan lagi berkali ganda pengikut beliau. Bagi aku, datangnya sokongan generasi ke Anwar adalah disebabkan orang tidak mampu membuat perbandingan. Dan melihat BN itu sebagai sesuatu yang bodoh Mereka tidak ada medium yang jelas. Jadi bila Anwar ini mempamerkan karisma yang kita semua tahu kehebatannya, silaplah BN. Sangat silap.

Minta maaf, aku emosi dalam perkara ini sebab aku nampak sesuatu yang akan merugikan Melayu nanti. Dan juga aku takut kita akan hilang ciri Islam kita nanti. Mungkin tidak sesuai aku huraikan secara terbuka. Tapi aku nampak kurang cerdiknya orang Melayu dalam mengundi. Aku berpendapat ada beberapa faktor bagi aku yang akan menyebabkan kita ini “hilang di dunia”. Dan aku risau satu hari nanti kita hilang ketuanan kita. Lihat saja apa yang berlaku di Perak, sangat membimbangkan aku. Aku bukanlah semangat perkauman malah sesiapa yang kenal aku pun tahu aku memang sangat bukan begitu. Dan aku juga tidak berpihak pada mana-mana parti pun. Memang sepanjang cara aku, aku akan lebih terbuka dan kritis. Dan aku berfikir juga secara mendalam walaupun orang kata aku lambat dan leceh. Tapi bukan senang nak berkata tentang ini sebenarnya..

Apa aku tulis ini bukanlah akarnya tapi cuma dahannya. Akarnya? Kemudian hari. Aku agak emosi.

Tuesday, March 4, 2008

serius!

Kadang-kadang aku merasa

Aku perlu serius dalam blog ini

Walau zahirnya aku tak serius

Walau silamnya aku tak serius

Tapi aku tetap mahu serius

Jika bukan sekarang

Bila lagi aku mahu serius

Kandungan aku mungkin berat

Kadang-kadang berpuisi

Kadang-kadang bersajak

Dan mungkin banyak merencana

Dan mungkin seketika juga

Aku akan bersandiwara

Tapi apa jua pun

Aku akan lebih banyak serius di sini

Mungkin kerana

Kadang-kadang aku merasa

Sudah terlalu lama aku bersandiwara

Sehingga aku merasa

Ini masanya aku perlu serius

Yeah. Serius!







aku yang masih tak serius


selamat hari lahir encik muhsin

Ini percubaan kali pertama aku untuk blog.

Cuba..cuba..

Cuba lagi..cuba..cuba..

Dan akhirnya terus juga mencuba.

Aha boleh!

Selamat hari lahir.